KUALA LUMPUR: Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) setakat ini berjaya mencatatkan kutipan sebanyak RM40.6 juta sekali gus menjadikan ia sebagai filem animasi nombor satu di Malaysia daripada segi kutipan.
Pencapaian ini meletakkan EATM2 mendahului Mechamato Movie yang sebelum ini memegang rekod kutipan tertinggi iaitu RM35.8 juta.
Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin berkata, kejayaan ini merupakan satu bukti bahawa rakyat Malaysia sentiasa menyokong animasi tempatan.
“Ini bukan sahaja kemenangan buat kami, tetapi juga buat seluruh industri animasi tempatan. Terima kasih Malaysia kerana percaya pada cerita kita sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Setakat ini, lebih dua juta penonton telah membanjiri pawagam untuk menyaksikan sekuel ini yang diterbitkan oleh Wau Animation dengan kerjasama Primeworks Studios.
