145,648 penjawat awam Persekutuan di Johor terima RM500

ISKANDAR PUTERI: Seramai 145,648 penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor menerima RM500, melibatkan peruntukan sebanyak RM72.82 juta.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi Bantuan Kasih Johor (BKJ) bermula pada Disember ini dan pemberian insentif khas tersebut merupakan tahun kedua berturut-turut.

“Setiap penjawat awam Persekutuan yang layak akan menerima insentif khas RM500 seorang, yang disalurkan secara berperingkat-peringkat iaitu RM300 pada Disember 2026 dan RM200 pada Februari 2027.

“Kesinambungan inisiatif yang turut dilaksanakan menerusi Belanjawan Johor 2026 itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menghargai sumbangan dan khidmat bakti penjawat awam Persekutuan yang menjadi antara penggerak penting pembangunan Johor,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika membentangkan Belanjawan Johor 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN), Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Menurutnya, kemajuan pesat yang sedang dikecapi Johor bukan sahaja didorong oleh dasar dan perancangan pembangunan kerajaan negeri, malah turut disokong komitmen serta kerjasama erat penjawat awam di peringkat negeri dan

Persekutuan dalam memastikan setiap agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Tambahnya, penjawat awam Persekutuan memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan perkhidmatan asas seperti kesihatan, pendidikan, keselamatan dan kebajikan terus dapat dinikmati rakyat.

“Di sebalik setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan, terdapat penjawat awam yang bekerja keras memastikan manfaatnya benar-benar sampai kepada masyarakat.

“Justeru, pemberian insentif khas ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi merupakan tanda penghargaan dan pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap segala usaha, pengorbanan serta komitmen mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada Bangsa Johor,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap pemberian insentif berkenaan dapat membantu meringankan beban perbelanjaan harian penjawat awam dan keluarga, khususnya dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

Selain itu, Onn Hafiz memberitahu, penjawat awam kerajaan negeri pula menerima insentif khas dua bulan setengah gaji.- MAJESTIC

More From Author

Adakan pilihan raya, redakan huru-hara dalam negara – Dr. Naqib

MB N. Sembilan masuk hospital, alami demam