Adakan pilihan raya, redakan huru-hara dalam negara – Dr. Naqib

KOTA ISKANDAR: Situasi dalam negara ketika ini semakin huru-hara dengan pelbagai isu termasuk dicetuskan parti politik yang berada dalam komponen Kerajaan Perpaduan.

Justeru, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berpendapat, penyelesaian terhadap masalah itu adalah dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat supaya pilihan raya umum dapat diadakan.

“Saya melihat berlaku macam huru-hara, sana sini (huru-hara) padahal dalam parti kerajaan yang sama. Mungkin pendekatan yang baik ialah sampai masanya kita serahkan pada rakyat. Biar rakyatlah menilai dan memilih kembali,” katanya selepas pembentangan Belanjawan Johor 2027 oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Dr. Naqib berkata, terbaharu adalah isu Tony Pua yang didakwa menghina Yang DiPertuan Agong apabila membocorkan minit mesyuarat sulit Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) dalam Facebook miliknya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri itu berkata, dokumen rasmi kerajaan dan berstatus rahsia tidak boleh didedahkan begitu sahaja.

Beliau menyarankan agar dokumen sulit dan rasmi seperti itu selepas ini perlu disimpan dengan pendekatan lebih telus di peringkat mana-mana pun.

Jelasnya, kerahsiaannya perlu dijaga dengan penuh amanah dan integriti kerana boleh menimbulkan pelbagai spekulasi apabila terdedah kepada umum.

Apabila sudah berlaku kebocoran dokumen sulit seperti itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti

mahu satu tindakan serius dikenakan dan perkara tersebut tidak boleh didiamkan.

Tegasnya, perkara tersebut tidak perlu dibiarkan terus menjadi polimik tidak sihat dalam media sosial kerana akan menimbulkan keraguan dan soal keselamatan serta hilang kepercayaan.

“Saya melihat perkara ini patut diambil tindakan yang serius. Satu lagi kita kadang-kadang dalam main berpolitik ada masanya benda yang ‘beyond politic’ iaitu berada di atas. Contohnya macam undang-undang, institusi raja dan negara.

“Benda-benda yang di atas kita tak boleh sentuh dengan terlalu menggunakan (bermain) politik. Kena ada batasan. Kalau perkara ini tidak disekat nanti akan memberikan satu persepsi.

“Saya takut akan menyebabkan rakyat sama rakyat bertelagah. Itu benda-benda yang kita kena elakkan sepatutnya. Sebagai pemimpin, kita kena jaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat. Itu yang kita utamakan bukannya diri kita,” katanya.

Terdahulu, Tony Pua berkongsi beberapa muka surat kandungan minit mesyuarat LPWP yang didakwa sudah dinyahklasifikasikan, dalam akaun Facebook beliau.

Menurut minit mesyuarat lembaga pengampunan tersebut yang dinyahklasifikasikan itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.

Cara Tony Pua mengulas berkenaan dokumen sulit tersebut juga dipertikaikan apabila secara biadab menggunakan ungkapan our king kleptocrat dalam kenyataan tersebut.- MAJESTIC

More From Author

Sisa pembinaan dari Singapura dibawa lagi secara haram ke Pontian

145,648 penjawat awam Persekutuan di Johor terima RM500