MB N. Sembilan masuk hospital, alami demam

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, mendapatkan rawatan di hospital swasta, di sini, akibat demam.

Setiausaha Akhbarnya, Mohd Fasha Musthafa, ketika dihubungi mengesahkan keadaan Ismail.

“Alhamdulillah, keadaannya dilaporkan semakin pulih. Terima kasih atas keprihatinan semua.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar beliau segera sembuh dan dikurniakan kesihatan yang baik,” katanya.

Difahamkan, Ahli Dewan Undangan Negeri Juasseh itu dimasukkan ke hospital malam tadi.

Jumaat lalu, Ismail memaklumkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir memperkenankan untuk beliau meneruskan tugas sebagai MB Negeri Sembilan.

Beliau juga menegaskan bahawa tidak pernah mengemukakan atau memberikan persetujuan berhubung surat peletakan jawatannya yang diserahkan kepada Tuanku Muhriz.

Perkara itu turut disahkan Istana Negeri Sembilan menerusi kenyataan Pengelola Bijaya Diraja selepas Ismail menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, Seremban, Jumaat lalu.

Pada 16 November lalu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail.

Bagaimanapun, pihak istana pada keesokan harinya memaklumkan ketulenan surat yang dihantar pada pukul 12.16 tengah malam itu masih belum disahkan. – BH

More From Author

145,648 penjawat awam Persekutuan di Johor terima RM500

F&NHB bekal 100 peratus susu segar kepada kira-kira 1,200 sekolah