Sindiket seludup rokok, diesel RM31.6 juta tumpas

JOHOR BAHRU: Cubaan sindiket penyeludupan rokok dan diesel tumpas dalam dua operasi berasingan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di perairan negeri ini membabitkan sitaan RM31.6 juta.

Kejayaan tersebut hasil kerjasama dan penguatkuasaan secara bersepadu dengan Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC) serta penggunaan pendekatan penguatkuasaan berkesan JKDM.

Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, operasi pertama dilakukan sepasukan anggota Operasi Marin, Cawangan Penguatkuasaan Kastam Johor Bahru yang menahan sebuah kapal di perairan Pengerang pada 21 Oktober lalu.

“Operasi ini adalah hasil perkongsian maklumat daripada pihak DJBC Indonesia.

Hasil pemeriksaan ke atas kapal tersebut mendapati sebanyak 29,916,000 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam ditemukan dan disita dengan anggaran nilai berjumlah RM5,984,000.00.

“Anggaran duti dan cukai yang terlibat pula adalah sebanyak RM21,000,000.00 menjadikan jumlah keseluruhan nilai sitaan termasuk duti dan cukai sebanyak RM26,984,000.00,” katanya dalam sidang m3diq di Jeti Marin Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, sini hari ini.

Beliau berkata, susulan operasi itu, sebuah kapal yang digunakan sebagai pengangkutan di laut beserta lapan kru kapal warganegara Myanmar berumur antara 25 hingga 53 tahun ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, bagi kes kedua pula sepasukan anggota Kastam daripada Unit Marin Sungai Pulai mehanan sebuah kapal tangki minyak di perairan Kukup pada 2 November lalu.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kapal tersebut membawa sejumlah besar cecair yang dipercayai minyak diesel disyaki belum lulus kastam dan kapten kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah apabila diminta.

Diesel tersebut katanya, disita manakala kapal bersama-sama lapan kru kapal warganegara Myanmar berumur antara 25 hingga 53 tahun ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“Diesel yang disita dianggarkan sebanyak 569,000 liter bernilai RM1,395,000 manakala duti dan cukai terlibat sebanyak RM227,000, menjadikan jumlah keseluruhan nilai sitaan termasuk duti dan cukai sebanyak RM1,622,000,” ujarnya.

Kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, katanya.- MAJESTIC

More From Author

F&NHB bekal 100 peratus susu segar kepada kira-kira 1,200 sekolah

3 syarat tambahan bendung lesen ‘Ali Baba’