JOHOR BAHRU: Tindakan yang menimbul ketegangan dan menjejaskan keselamatan petugas media ketika melaksanakan tugas tidak wajar berlaku, demikian tegas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin.
Menurutnya, budaya agresif, provokatif atau tindakan melampau bukan budaya Bangsa Johor yang sentiasa mengutamakan keharmonian, kebijaksanaan dan kesopanan dalam setiap tindakan
“Saya memandang serius insiden kekecohan serta gangguan terhadap petugas media yang dilaporkan berlaku ketika liputan sebuah konvensyen parti politik di daerah ini, Ahad lalu.
“Kerajaan Negeri Johor sentiasa memandang tinggi peranan pengamal media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat yang sahih, tepat dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
“Johor sejak sekian lama dikenali sebagai negeri yang menitikberatkan nilai adab, santun, hormat-menghormati serta kematangan dalam berurusan dengan semua pihak tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau percaya, semua pihak termasuk penganjur program, pasukan keselamatan dan pengurusan acara, mempunyai tanggungjawab bersama-sama untuk memastikan suasana yang kondusif serta profesional dapat diwujudkan khususnya ketika membabitkan urusan media.
Katanya, hubungan baik antara media dan penganjur perlu sentiasa dipelihara demi memastikan proses penyampaian maklumat kepada rakyat berjalan dengan lancar dan berintegriti.
“Pada masa sama, saya menghormati tindakan Kelab Media Johor (KMJ) dalam menyalurkan perkara ini melalui saluran yang sewajarnya dan berharap supaya semua pihak dapat memberikan kerjasama penuh bagi meredakan keadaan serta mengelakkan insiden seumpama ini daripada berulang pada masa hadapan.
“Semoga isu ini dapat dijadikan pengajaran bersama supaya setiap program yang berlangsung di Nlnegeri Johor sentiasa mencerminkan nilai profesionalisme, keselamatan, adab dan semangat muafakat yang menjadi kebanggaan Bangsa Johor,” katanya.
Semalam, KMJ membuat laporan polis susulan tindakan agresif skuad keselamatan parti politik terhadap petugas media ketika membuat liputan Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, Ahad lalu.
KMJ menzahirkan rasa kesal dengan tindakan melampau skuad keselamatan itu yang bertindak menghalang tugas pengamal media dari Johor dan Kuala Lumpur dengan mengundang kepada insiden tolak-menolak dan pertelingkahan mulut.- MAJESTIC
