Buatlah pilihan tepat antara keangkuhan politik atau muafakat – Suhaizan

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pulai, Suhaizab Ka’iat meminta Barisan Nasiobal membiat pilihan tepat, sama ada meneruskan hasrat bertanding solo atau bekerjasama dengan Pakatan Harapann (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang.

Menurutnya, PH bersedia untuk menghadapi BN sekiranya parti itu meneruskan hasrat bertanding solo yang disifatkannya sebagai keangkuhan politik tidak berkesudahan.

Berikut kenyataan penuh beliau:

KENYATAAN MEDIA

AHLI PARLIMEN PULAI

18 Mei 2026

PELUANG TERAKHIR BARISAN NASIONAL

1. Pakatan Harapan sejak awal telah menghulurkan tangan kerjasama demi kestabilan politik dan masa depan rakyat Johor. Antaranya ialah cadangan supaya Kerajaan Perpaduan Negeri Johor dibentuk sebagaimana model yang berjaya dilaksanakan di Melaka. Johor dan Melaka mempunyai model yang sama kerana pilihanraya lebih awal sebelum Kerajaan Perpaduan Persekutuan dibentuk. Malangnya, cadangan tersebut telah ditolak oleh pimpinan Barisan Nasional Johor yang memilih untuk menutup ruang persefahaman politik demi kepentingan sempit mereka sendiri.

2. Pakatan Harapan juga pernah memberikan peluang kepada Barisan Nasional untuk bersama berada dalam Kerajaan Negeri di Negeri Sembilan. Namun peluang tersebut dikhianati apabila wujud usaha membawa undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan. Tindakan itu memperlihatkan bahawa semangat kerjasama dan kestabilan politik yang cuba dibina telah dicemari oleh percaturan politik yang tidak bertanggungjawab.

3. Di peringkat Persekutuan, Kerajaan Perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan telah menyalurkan pelbagai peruntukan besar dan projek strategik untuk memacu pembangunan Johor seperti projek ETS, RTS, JS-SEZ, pembangunan pusat data dan pelbagai inisiatif ekonomi lain. Namun amat malang apabila Kerajaan Negeri Johor cuba menggambarkan kejayaan dan pembangunan tersebut seolah-olah berpunca sepenuhnya daripada usaha kerajaan negeri semata-mata tanpa mengiktiraf peranan besar Kerajaan Persekutuan.

4. Pakatan Harapan juga telah membuka ruang rundingan kerusi bagi menghadapi PRN16 Johor demi memastikan pertandingan yang lebih tersusun dan stabil antara parti-parti Kerajaan Perpaduan. Namun malangnya Barisan Nasional memilih untuk bergerak secara solo dengan hasrat bertanding di kesemua 56 kerusi DUN di Johor. Sikap ini jelas memperlihatkan keengganan mereka untuk membina kekuatan bersama serta lebih mengutamakan kepentingan politik parti berbanding kestabilan masa depan negeri.

5. Dalam Konvensyen Pakatan Harapan yang berlangsung di Persada Johor International Convention Centre pada 17 Mei 2026, Presiden Pakatan Harapan yang juga Perdana Menteri telah memberikan peluang terakhir dengan penuh kebaikkan, kesabaran dan kebijaksanaan kepada Barisan Nasional untuk berubah dengan melaksanakan rundingan kerusi khusus bagi negeri Johor. Sekiranya Barisan Nasional terus memilih jalan keangkuhan politik dan menolak semangat kerjasama, maka Pakatan Harapan bersedia untuk bertanding di semua kerusi DUN dan Parlimen diseluruh negara. Keadaan ini juga membuka ruang kepada kemungkinan PRU dan PRN diadakan secara serentak demi mengembalikan mandat kepada rakyat.

6. ⁠Sekarang bola berada di kaki Barisan Nasional. Buatlah pilihan yang tepat antara keangkuhan politik tidak berkesudahan ataupun muafakat membawa berkat.

SUHAIZAN KAIAT

Ahli Parlimen Pulai

More From Author

BN Johor mahu kembali jadi kerajaan selepas PRN

Budaya agresif, halang tugas media tidak wajar berlaku – EXCO