JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendakwa telefon pintarnya dipantau dan diintip.
Perkara tersebut disedarinya apabila menerima notifikasi amaran daripada pihak Apple tentang cubaan serangan perisian pengintip atau mercenary spyware terhadap telefon pintar yang dikaitkan dengan akaun peribadinya.
“Saya memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan data, kerahsiaan komunikasi, hak peribadi serta cubaan pencerobohan terhadap ruang peribadi seseorang.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk pengintipan, pencerobohan digital dan penyalahgunaan teknologi untuk tujuan yang tidak bertanggungjawab,” tulisnya dalam hantaran terbaru dalam Facebook miliknya.
Beliau akan membuat laporan polis dan mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Ini supaya siasatan menyeluruh dapat dijalankan serta tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang.
“Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada sebarang pencerobohan dan penyalahgunaan teknologi yang boleh mengancam keselamatan serta hak peribadi individu,” katanya.- MAJESTIC
