JOHOR BAHRU: Seramai 38 warga asing yang bekerja di kedai makan sekitar daerah ini ditahan Jabatan Imigresen negeri ini dalam Op Selera semalam.
Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi pada pukul 11 pagi itu dijalankan hasil risikan serta pemantauan berterusan susulan aduan awam.
Menurutnya, beberapa individu cuba meloloskan diri, namun keadaan berjaya dikawal oleh pegawai penguat kuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan serta permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut ditahan dua lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai pengurus premis bagi membantu siasatan.

Daripada keseluruhan tangkapan, seramai 24 lelaki dan 14 wanita warga Indonesia berusia antara 18 hingga 50 tahun dipercayai bekerja sebagai tukang masak dan pelayan restoran.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut. – MAJESTIC
