JOHOR BAHRU – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap karier politiknya masih belum berakhir dan kini masih aktif menjalankan amanah sebagai Ahli Parlimen Bera dan Ketua UMNO Bahagian Bera.
Tegasnya, keputusan sama ada akan bertanding semula atau tidak dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang ditentukan apabila tiba masanya.
“Saya masih aktif sebagai Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian. Tetapi saya sedar tidak lagi aktif dalam arus perdana politik ‘mainstream’ tanah air. Keputusan berkenaan PRU akan dibuat apabila tiba masanya.
“Buat masa ini saya turut fokus kepada membantu kira-kira 1,000 anak-anak yatim yang kehilangan ketua keluarga disebabkan pandemik Covid-19, itu fokus saya ketika ini,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) berkata demikian
kepada pemberita selepas melakukan ziarah kasih dan menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina di Jalan Merak, Larkin Jaya di sini hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Ismail Sabri berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bera apabila menang dengan majoriti 16,695 undi mengatasi lawan masing-masing daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Jumlah undi yang diperoleh Ismail sebanyak 31,762 manakala PH yang diwakili Abas Awang hanya mendapat 15,067 undi.
PN yang diwakili Asmawi Harun pula sekadar mendapat 12,719 undi.
Ismail berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan untuk lima penggal berturut-turut.- Majestic
