Guru didakwa cuba pegang payu dara wanita Vietnam

JOHOR BAHRU: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencabul seorang wanita Vietnam dalam kereta e-hailing dipandunya, awal bulan ini.

Alvin Choo Chee Hong, 26, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret A Shaarmini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas seorang wanita warga asing dengan niat hendak mencabul kehormatan dengan cara memegang payu data, peha dan betis wanita itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam kereta Perodua Bezza antara Kedai Emas Ros Merah, Jalan Harimau Tarum, Taman Century dan R&F Princess Cove, Jalan Tanjung Puteri 1, Tanjung Puteri di sini, antara pukul 5.30 hingga 6 petang, pada 1 Februari lalu.

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua dari hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari menawarkan jaminan RM10,000, namun dibantah peguam Mark Jeyakumar yang mewakili tertuduh.

Mark berkata, anak guamnya hanya berpendapatan kira-kira RM3,000 sebulan dan jumlah jaminan yang tinggi adalah di luar kemampuan tertuduh.

“Tertuduh adalah anak sulung daripada tiga beradik dan dua adiknya masih belajar di pusat pengajian tinggi. Ibunya suri rumah dan bapanya bekerja sebagai penolong jurutera dengan gaji RM4,000 sebulan.

“Ini kesalahan kali pertama tertuduh, dia tidak pernah dibawa ke mahkamah bagi mana-mana kes sebelum ini. Tertuduh tiada langsung risiko untuk mengulangi perbuatannya kerana dia tidak lagi menjalankan kerja membawa e-hailing.

“Malah, tertuduh juga tidak ada risiko untuk ganggu mangsa selepas ini kerana dia tiada maklumat langsung mengenai wanita itu,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dan menetapkan 13 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan polis giat mengenal pasti pemandu e-hailing yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita susulan penularan video kejadian itu dalam media sosial.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook kemudian dilaporkan berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membatalkan serta-merta Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) pemandu e-hailing terlibat dalam insiden gangguan seksual terhadap penumpang wanita itu menyebabkan pemandu terbabit tidak boleh berkhidmat sebagai pemandu di semua platform e-hailing.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad kemudian mengesahkan tangkapan berjaya dibuat selepas menerima laporan polis daripada mangsa yang juga warga Vietnam itu pada 4 Februari lalu.- Majestic

More From Author

Faktor Onn Hafiz boleh menangkan BN pada PRN Johor

Ismail Sabri anggap karier politiknya masih belum berakhir