PONTIAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta projek sakit dan lewat di peringkat daerah diselesaikan segera bermula tahun ini.
Menurutnya, pegawai daerah perlu mengemuka laporan lengkap mengenai pelaksanaan projek-projek kecil di peringkat daerah dalam tempoh sebulan.
“Pojek yang berlarutan sehingga bertahun-tahun, termasuk projek kemudahan asas seperti hospital, adalah sesuatu yang tidak wajar dan perlu ditangani segera.
“Ada projek yang menunggu sehingga empat tahun. Ini yang saya maksudkan sebagai projek sakit. Kita mesti turun ke daerah, lihat sendiri apa masalahnya dan kenapa ia menjadi projek sakit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Bangunan Tambahan Hospital Pontian di Dataran Pontian di sini hari ini.
turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan perlu mencari pendekatan baharu bagi mempercepatkan pelaksanaan projek termasuk daripada aspek pemilihan kontraktor serta sistem pemantauan supaya setiap projek dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.
Katanya, kehendak kerajaan untuk melihat projek disiapkan dengan cepat selari dengan harapan rakyat yang mahukan kemudahan dan pembangunan dapat dinikmati segera.
Perdana Menteri juga menekankan kejayaan sebenar pentadbiran negara tidak boleh diukur semata-mata melalui angka atau laporan, sebaliknya melalui keberkesanan penyampaian bantuan dan pembangunan kepada rakyat, khususnya golongan memerlukan.
Anwar turut menyifatkan usaha membasmi kemiskinan, termasuk kemiskinan tegar, sebagai keutamaan negara sehingga berjaya mengurangkan masalah tersebut secara sederhana pada tahun ini.
“Saya berasa bangga dengan usaha yang dilaksanakan di Pontian. Ini hasil kerjasama semua pihak yang benar-benar turun padang dan bekerja untuk rakyat,” katanya.
Tegasnya, sebuah negara yang kaya dengan sumber Malaysia tidak seharusnya terus dibelenggu isu kemiskinan tegar, dan kegagalan menyelesaikannya adalah sesuatu yang memalukan.
“Kerajaan akan terus memastikan setiap projek, sama ada berskala kecil atau besar, dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan agar pembangunan benar-benar sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi,” ujarnya.- Majestic
