Seorang lagi murid positif tibi

PONTIAN: Seorang murid lelaki di daerah ini didapati positif jangkitan Tuberkulosis (Tibi).

Itu merupakan kes pertama dijangkiti tibi membabitkan seorang murid di daerah ini selepas enam murid di Kota Tinggi didapati positif Tibi minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, Pejavat Kesihatan Daerah (PKD) memaklumkan tindakan segera sudah diambil terhadap murid berkenaan.

“PKD Pontian telah mengenal pasti semua kontak rapat dan mereka diminta hadir ke Klinik Kesihatan Pontian untuk menjalani saringan kesihatan mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Selain itu, sebagai langkah pencegahan awal, tindakan sanitasi serta pembersihan menyeluruh akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, enam murid di Kota Tinggi disahkan menghidap penyakit Tibi hasil saringan kontak rapat yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).

Keadaan di kawasan lokaliti yang dilaporkan di Kota Tinggi itu terkawal dengan kesemua murid terlibat kini menerima rawatan dan pemantauan rapi.

Mengulas lanjut, Aznan mengingatkan semua sekolah sentiasa mematuhi arahan dan garis panduan KKM bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat.

“Kesihatan dan keselamatan murid serta guru adalah keutamaan kami. Kerjasama semua pihak amat penting untuk memastikan langkah pencegahan ini dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.- Majestic

More From Author

Pemotong rumput maut dilanggar pemandu loro lalok

Isa Samad kena jel 6 tahun, denda RM15.45 juta