PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad diperintah menjalani hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Persekutuan di sini semalam atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Nordin Hassan selepas membenarkan rayuan pendakwaan selaku perayu untuk mensabitkan Mohd. Isa, 77, terhadap sembilan pertuduhan itu selain mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membebaskan responden sebelum ini.
Justeru dengan sabitan dan hukuman itu, mahkamah tertinggi negara mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan Mohd. Isa termasuk hukuman yang dijatuhkan. – KOSMO
