JOHOR BAHRU : Sempena sambutan Hari Malaysia, jenama fesyen tempatan Bayu Somerset memilih pendekatan lebih istimewa apabila meraikan anak-anak Johor yang mencipta kejayaan, memberi inspirasi serta menyumbang bakti kepada masyarakat.
Lebih bermakna, penghargaan tersebut berlangsung serentak dengan pembukaan cawangan ke-21 Bayu Somerset di pusat beli-belah Toppen, sekali gus menjadi sebahagian daripada sambutan ulang tahun kelima jenama berkenaan.
Ketua Pegawai Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul Arifin berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat meraikan pembukaan cawangan baharu itu bersama individu yang memberi sumbangan bermakna kepada Johor.
“Kami teruja dan berbesar hati mendaparlt peluang meraikan pembukaan cawangan ke-21 bersama Anak-Anak Johor yang diundang khas memeriahkan majlis pada hari ini.

“Mereka datang daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran dengan membawa cerita, pengalaman istimewa serta kisah inspirasi yang tersendiri.
“Sudah tentu kami juga amat mengagumi khidmat bakti mereka terhadap negeri yang disayangi ini,” katanya,” katanya ketika majlis penyerahan penghargaan di Bayu Somerset di Pusat Beli Belah Toppen, Johor Bahru, di sini.
Majlis pembukaan itu diserikan dengan pelbagai aktiviti termasuk persembahan tarian tradisi, sesi penghargaan serta tawaran diskaun dan promosi istimewa kepada pengunjung.
Antara individu yang diraikan ialah pensyarah dan penyanyi, Najwa Latif, yang merupakan anak kelahiran Batu Pahat serta mencipta nama sejak remaja sebelum bergelar pensyarah TESL di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Turut menerima penghargaan ialah murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Tasek Utara, Wan Harriz Wan Abdul Qayyum yang mengharumkan nama Johor dan Malaysia selepas muncul juara Play-Off Qualifier Hippo English Without Borders 2026 di Doha, Qatar.
Bayu Somerset turut menghargai sumbangan seorang profesional komunikasi korporat, Yusuf Hassan,
yang mempunyai kepakaran dalam produksi video dan bertanggungjawab mengetengahkan profil serta aktiviti Johor Corporation (JCorp).
Melalui karya visualnya, Yusuf merakam pelbagai kisah berkaitan organisasi berkenaan termasuk pencapaian syarikat, tanggungjawab sosial korporat, budaya dan tradisi masyarakat Johor serta kisah kehidupan rakyat untuk tatapan umum.
Kumpulan Tarian Sanggar Citra Tari juga tidak ketinggalan diraikan sebagai wakil generasi muda yang terus menghidupkan seni dan ekspresi budaya menerusi persembahan mereka, selain menempa nama di persada antarabangsa.
Pada masa sama, Dania berkata, pembukaan cawangan di Toppen turut menjadi langkah strategik bagi Bayu Somerset memperluaskan pasaran lagi, khususnya dengan kedudukan Johor Bahru yang menjadi destinasi membeli-belah bagi pengunjung dari Singapura dan Indonesia.
“Kita sedia maklum Johor Bahru adalah destinasi membeli-belah utama, terutama untuk pelanggan dari Singapura dan juga Indonesia.

“Oleh itu, kami sudah menyediakan pelan strategik untuk menarik minat mereka terhadap jenama kami, sekali gus membuka peluang kepada Bayu Somerset menerokai pasaran antarabangsa,” ujarnya.
Sempena pembukaan cawangan itu, Bayu Somerset turut menyediakan diskaun istimewa serta hadiah eksklusif untuk anak-anak Johor dan pengunjung sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Malaysia.
Bagi Bayu Somerset, pembukaan cawangan ke-21 bukan sekadar menambah satu lagi lokasi dalam rangkaian perniagaan, sebaliknya menjadi simbol lembaran baharu jenama itu di Johor.
Ini juga menjadi ruang untuk menghargai setiap anak Johor yang mengharumkan nama negeri di pentas antarabangsa, menyumbang kepada komuniti serta memastikan seni dan budaya tempatan terus hidup.
“Setiap sumbangan, sama ada besar atau kecil, menjadi sebahagian daripada cerita istimewa Johor,” katanya.
Ditubuhkan pada tahun 2021, Bayu Somerset merupakan jenama fesyen gaya hidup tempatan yang komited dalam mentakrifkan semula busana tradisional agar lebih relevan dengan generasi masa kini. – MAJESTIC
