Bunuh, bakar: 2 beradik didakwa membunuh

JOHOR BAHRU: Dua beradik lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang merupakan seorang daripada enam rangka manusia yang ditemuka dibunuh dan dibakar di sebuah rumah di kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, tahun lalu.

Tertuduh, R. Utes, 36, dan R. Arasan, 32, menggangguk faham selepas pertuduhan ketika dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Utes dan Arasan didakwa menyebabkan kematian V Thamil Selvan, 39, di sebuah rumah tidak bernombor dalam sebuah kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai di sini antara pukul 12.30 tengah malam hingga 4 pagi, pada 15 September 2025.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat sehingga 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hamizi Mohd Yusof dan Mohamad Isa Mohamad Nasir

Mahkamah menetapkan 6 April ini untuk sebutan semula kes.

Media semalam melaporkan, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suami kepada seorang daripada enam mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 9 Januari lalu, setelah menemui rangka manusia ketika mencari isteri dan anak-anaknya yang dilaporkan hilang.

Susulan penemuan itu, beliau berkata, pasukan patologi forensik dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor menjalankan pemeriksaan dan bedah siasat ke atas rangka yang telah dijumpai di rumah yang terletak berhampiran sebuah kuil terbiar itu.

Katanya, siasatan mendapati enam mangsa itu terdiri seorang wanita dewasa berusia 35 tahun, seorang remaja perempuan 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan sembilan dan lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan seorang lelaki dewasa berusia 28 tahun.

Beliau dilaporkan berkata, polis masih menyiasat tempoh masa semua mangsa ini dilaporkan hilang, namun dipercayai sudha meninggal dunia lebih tiga bulan sebelum ditemukan.

Susulan siasatan dan risikan lanjut, polis menahan empat suspek warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 dan 35 tahun di sekitar Iskandar Puteri pada 21 Januari lalu bagi membantu siasatan.

Hasil semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah.- Majestic

More From Author

2 mangsa bunuh, bakar adalah rakan

Lelaki lima tahun duda ditangkap khalwat dengan janda