2 suspek kes culik diberkas, warga India diselamatkan

ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki dan seorang wanita diberkas kerana disyaki menculik seorang lelaki warga Indi di Gelang Patah, di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan polis kejadian tersebut daripada seorang lelaki warga India yang berusia 30 tahun pada pukul 11.08 malam Isnin lalu.

“Rakan mangsa melaporkan bahawa pada pukul 3 pagi Isnin mengadu mangsa iaitu lelaki warga India berusia 46 tahun dibawa keluar oleh individu tidak dikenali dari sebuah bilik hotel di kawasan Gelang Patah.

“Seterusnya pada pukul 1 petang Isnin rakan mangsa itu telah dihubungi suspek yang meminta bayaran sebanyak

RM5,000 bagi melepaskan mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat pada pukul 12.15 tengah malam Isnin sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri telah mengesan dan menyelamatkan mangsa di kawasan Gelang Patah setelah dilarikan suspek.

Seterusnya kata beliau, pada pukul 1 hingga 4 pagi Selasa, pasukan sama telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan wanita warga tempatan berusia 26 dan 32 tahun di kawasan Permas Jaya.

Jelasnya, suspek lelaki mempunyai rekod jenayah dan dadah manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis syabu.

“Daripada tangkapan ini pihak polis berjaya membuat rampasan barang-barang seperti sebuah kereta, tiga telefon bimbit, satu kotak barang lemas RV gold, satu keping resit RV gold,” katanya.

Beliau memberitahu, rampasan termasuk satu bentuk cincin berwarna kuning, seutas rantai leher warna kuning, tiga beg komputer riba, satu kad cubernetik technologies dan satu fail dokumen.

Katanya, semua suspek sedang ditahan bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama enam hari mulai 20 hingga 25 Januari ini.

Pihaknya sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bernama

Satheswaran Jaintheran yang berusia 30 tahun, warga tempatan bagi membantu siasatan.

Sebarang maklumat katanya, boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Mohd Ezwady Mat Lajis 016-6833692/07-5113622 atau hotline 07-5114486.

“Hasil siasatan mendapati mangsa telah diperas ugut sebanyak RM5,000 oleh tiga suspek terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan kerana mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan suspek wanita yang telah ditangkap itu,” katanya.

Beliau berkata, suspek wanita tersebut merupakan teman wanita kepada salah seorang suspek lelaki yang masih bebas setelah mangsa diperdaya ketiga-tiga suspek berkenaan.

Tambahnya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu menculik, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun dan juga dikenakan denda.

Katanya lagi, kes juga disiasat bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu pemerasan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.- Majestic

More From Author

Minggu lepas belasah 10-1, hari ni JDT hanya bagi 1-0, sah ke suku akhir

Pengsan tersepit celah jentolak