4 termasuk 2 wanita Vietnam dituduh edar dadah

PONTIAN: Dua lelaki tempatan dan dua wanita Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah.

Tertuduh warga tempatan, Tan Jin Xiang dan Koh Wee Han masing-masing berusia 34 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurhafiza Haron, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dua tertuduh warga Vietnam, Nguyen Thi Ngoc Bich, 32, dan Nguyen Thanh Ngoc, 36, pula tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, mereka didapati bersama-sama mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat kesar 7,787 gram dan kannabis dengan anggaran berat kasar 2,569.4 gram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Indah 7, Taman Indah Jalan Parit Mesjid, di sini pukul 12.10 pagi, 1 Januari lalu.

Dalam prosiding sama, kesemua tertuduh mengaku bersalah bagi dua pertuduhan memiliki dadah jenis nimetazepam dengan anggaran berat kasar 25.28 gram dan 24.86 gram dadah jenis ketamin di lokasi dan masa sama.

Bagi kesalahan ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua tertuduh warga Vietnam turut didakwa memberikan dadah berbahaya jenis ketamin ke dalam tubuh badan sendiri.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, pukul 6.10 pagi, tarikh yang sama.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum dibawah Seksyen 15 Aakta yang sama membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Sahira Rosley manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 10 Mac ini untuk pertuduhan dibacakan semula oleh jurubahasa Vietnam, serahan dokumen dan laporan kimia serta patologi.- Majestic

More From Author

JKM cukup gelandangan warga emas yang sering buat masalah

Saya umun status pada PAU 2025 minggu depan – Akmal