BATU PAHAT: Seorang wanita yang meninggalkan anaknya untuk dijaga sebuah keluarga di Ayer Hitam dekat sini dicari bagi menyelesaikan urusan pengangkatan sah di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Zarina Ibrahim,46, berkata, kanak-kanak itu diberikan nama Kaseh Nur Alisha Abdul Hakim,9, itu telah diserahkan kepadanya sebaik selepas dilahirkan pada 25 Februari 2017 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Sepanjang tempoh berpantang, wanita yang dikenali sebagai Nor Shahidah Ahmad Yazid, 28, tinggal bersamanya sebelum menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung halamannya di Kampung Pondok Labu di Keladi, Kedah.
“Sebelum pulang, dia ada minta pertolongan untuk saya mengasuh anaknya itu dan menyerahkan Surat Daftar Kelahiran sebagai dokumen untuk urusan kesihatan disamping berjanji akan mengambil semula sebaik selesai urusan di kampung.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya juga meminta dia menyertakan Surat Sumpah keatas penyerahan sementara anaknya itu namun tidak menyertakan Surat Pengangkatan daripada pihak JKM,”katanya kepada Kosmo hari ini.
Menurut Zarina lagi, selama tempoh menjaga kanak-kanak itu, dia telah mengutuskan beberapa keping surat mengikut alamat yang diberikan semasa penyerahan dilakukan namun tidak mendapat sebarang maklum balas hingga kini.
Ujarnya, sebagai jaminan masa hadapan kanak-kanak dibawah jagaannya itu, diharapkan Nor Shahidah dapat menghubungi atau menemuinya untuk melunaskan urusan pengangkatan atau menyelesaikan masalah menyediakan kad pengenalan diri agar tiada masalah berbangkit pada masa akan datang.
“Mereka yang mengenali Nor Shahidah atau dirinya sendiri dapat menghubungi saya di talian 0197889345 agar dapat mengatur temu janji bagi menyelesaikan semua urusan berkaitan,”katanya. – Majestic
