KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor menjadi dua calon pilihan utama untuk mara ke final Piala FA dan mengulangi aksi pentas akhir musim lalu.
Musim lalu, JDT membelasah Selangor 6-1 dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA buat kali ketiga berturut-turut dan yang keempat dalam sejarah kelab itu.
Kini, kedua-dua pasukan itu berada dalam laluan berbeza di peringkat separuh akhir dengan JDT akan berdepan Kuching City manakala Selangor pula bakal menentang Sabah.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kelmarin mengumumkan jadual aksi serparuh akhir pertama akan berlangsung 9 November ini dan dua calon ke final akan diketahui selepas aksi kedua 30 November nanti.
Bekas Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim meletakkan JDT dan Selangor sebagai pasukan pilihan untuk ke final berdasarkan prestasi semasa pasukan terbabit dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Zulakbal bagaimanapun menganggap skuad Harimau Selatan tidak akan berdepan laluan mudah di separuh akhir kerana Kuching City di bawah bimbingan Aidil Sharin Sahak memiliki keupayaan untuk memberi cabaran hebat.
Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, Gergasi Merah pula perlu meningkatkan lagi persembahan mereka supaya lebih konsisten selain tidak boleh leka terhadap kemampuan Sabah.
“Aidil ada kebolehan untuk mencatur permainan dan jika berjaya mengejutkan JDT, ia akan jadi satu kejutan yang luar biasa. Namun, JDT satu nama yang terlalu besar dalam Liga M dan memiliki pemain yang bagus.
“Susah untuk kita tengok kejutaan luar biasa itu berlaku, jadi orang lihat JDT akan menang dan mara ke final. Sudah tentu JDT akan ditentang habis-habisan oleh Kuching City, namun kenyataannya adalah JDT terlalu kuat.
“Selangor pula berdepan prestasi turun naik dan mereka masih belum capai tahap konsisten. Namun, berdasarkan prestasi semasa mereka sepatutnya boleh atasi Sabah kerana prestasi Sabah juga tampak kurang baik musim ini.
“Tidak mustahil juga Sabah boleh mencipta kejutan, jadi Selangor kena lebih berhati-hati dan tak boleh leka. Ramai yang mahu melihat kejutan di Piala FA, tapi melihat keadaan semasa, JDT dan Selangor pilihan ke final,” katanya kepada BH Sukan.
JDT mara ke separuh akhir dengan menyingkirkan Penang menerusi agregat 5-1, Kuching City mengatasi Terengganu FC (agregat 5-3), Selangor menewaskan Negeri Sembilan (agregat 6-3) manakala Sabah pula mengecewakan Kelantan The Real Warriors (agregat 5-2). – BH
