LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Arne Slot menegaskan dia tidak mahu berselindung di sebalik alasan bagi prestasi buruk pasukan ketika ini – namun pada masa sama menyenaraikan pelbagai sebab di sebalik kemerosotan mendadak The Reds.
Skuad juara Liga Perdana Inggeris musim lalu itu kini tewas enam daripada tujuh perlawanan terakhir, termasuk disingkirkan Crystal Palace 3-0 dalam aksi Piala Liga minggu ini – kekalahan yang disifatkan berpunca daripada keputusannya merehatkan bintang utama seperti Virgil van Dijk dan Mohamed Salah.
Slot menegaskan, “Tiada alasan untuk keputusan ini,” tetapi tetap menyenaraikan enam faktor utama yang menurutnya di luar kawalan.
Antaranya, beliau menyalahkan kegagalan menjalani pramusim penuh sebagai punca penyerang baharu bernilai 130 juta pound (RM734 juta), Alexander Isak, gagal menyesuaikan diri selepas berpindah dari Newcastle.
Pengendali dari Belanda itu turut menjelaskan bahawa Isak dan satu lagi pembelian besar, Hugo Ekitike bernilai 69 juta pound (RM389 juta), tidak cukup bersedia menghadapi jadual padat Liverpool musim ini.
Selain itu, kecederaan yang menimpa Jeremie Frimpong (29.5 juta pound/RM166 juta) dan bek kanan muda Conor Bradley, serta Isak sendiri, turut menjejaskan perancangan pasukan.
Slot turut menambah bahawa beberapa pemain baharu seperti Florian Wirtz, Frimpong dan penjaga gol Giorgi Mamardashvili masih kekurangan pengalaman Liga Perdana Inggeris, sekali gus menjadi faktor prestasi hambar skuad bernilai 426 juta pound (RM2.4 bilion) itu.
Beliau juga menyebut tentang nasib malang dan beban perlawanan terlalu tinggi sebagai antara punca.
Liverpool kini berada di tangga ketujuh liga, tujuh mata di belakang pendahulu Arsenal.
Slot berkata: “Saya hanya menguruskan keadaan yang ada. Alex contohnya, terpaksa jalani pramusim di tengah musim. Orang boleh bertanya, ‘kenapa masih mainkan dia?’ Tapi kami perlukan dia, jika tidak Hugo perlu bermain setiap perlawanan.
“Kami bermain 60 perlawanan semusim di sini, jadi saya perlu biasakan dia dengan kadar itu.”
Slot berharap Ryan Gravenberch yang mengalami kecederaan dapat kembali beraksi menentang Aston Villa hujung minggu ini, namun mengakui masalah kecederaan pemain bukanlah sesuatu yang baharu.
“Jeremie Frimpong dan Conor Bradley juga keluar masuk kerana kecederaan, sebab itu kadang-kadang saya terpaksa gunakan Dominik Szoboszlai di posisi bek kanan. Itu bukan alasan, tapi realiti.
“Tahun lalu semua pemain saya sihat dan sudah ada pengalaman Liga Perdana sekurang-kurangnya semusim. Mungkin masa itu kami bernasib baik, tapi sekarang mungkin sebaliknya.
“Peluang yang kami cipta daripada permainan terbuka masih cukup untuk bersaing. Saya juga tidak nampak kami bolos terlalu banyak peluang,” kata Slot. – AGENSI
