KOTA TINGGI: Anggota tentera yang maut dalam kemalangan kereta bersama-sama teman wanitanya sebelum kedua-duanya rentung, sempat menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-21 semalam.
Menurut Ibunya, Kasmaazleena Kamsan, 47, Muhammad Daniel Saberi sebelum itu memaklumkannya malam tadi dia keluar menyambut ulang tahun kelahirannya bersama-sama Aiza Nur Elysha Sabri, 17.
Dia berkata, Muhammad Daniel keluar rumah pukul 3 petang semalam sebelum menghubunginya malam tadi serta menunjukkan gambar dia dan teman wanitanya itu pergi makan untuk menyambut hari lahirnya.
“Saya tanya dekat mana, dia kata dekat Stulang. Saya cakap jauhnya, nanti besok Uda (panggilan dalam keluarga untuk Muhammad Daniel) nak kerja kalau penat, mengantuk macam mana. Buat sementara ini dia tidak berkhidmat sebagai askar dan dia bekerja bawa grab.
“Dia kata takla ibu, sekejap je. Lepas makan ni Uda hantar baby (Aiza Nur Elysha) balik. Kemudian saya telefon pukul 4 pagi, pukul 5 pagi tak angkat-angkat.
“Saya kata mana budak ni. Tak pernah pula dia tak angkat telefon saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) hari ini.
Ibu kepada enam anak itu berkata, dia kemudian beranggapan bahawa anaknya tidur di rumah keluarga teman wanitanya itu sebelum dikejutkan dengan kehadiran polis kira-kira pukul 6 pagi.
Ketika itu polis memaklumkan anaknya terlibat kemalangan dan menyuruhnya hadir ke unit forensik HKT.
Semasa anaknya keluar rumah petang semalam hatinya memang rasa tidak tenteram namun tidak mahu melayaninya dan tidak menyangka itu merupakan satu petanda buruk dan menjadi kenyataan bila Muhammad Daniel terlibat dalam nahas berkenaan.
“Arwah memang dah lama kenal dengan kawan wanitanya itu dan merancang untuk bertunang bulan dua tahun depan pada 2 Februari sama dengan hari lahir bapanya.
“Namun tidak kesampaian. Arwah seorang yang suka menghiburkan bergurau dengan kami seperti mana arwah abangnya yang meninggal dunia akibat kemalangan pada tahun 2018.
“Tapi dia pun dah pergi ikut abang dia. Dia memang sayang adik-adik. Kalau ada duit dia tak pernah kedekut belanja kami. Dia selalu tengok barang dekat dapur ada tak yang kurang dia akan cukupkan,” katanya.
Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Barat di sini hari ini.
Terdahulu portal ini melaporkan pasangan tersebut rentung akibat terperangkap selepas kereta Toyota Vios yang dinaiki mereka terbakar selepas melanggar pokok kelapa sawit
Muhammad Daniel Saberi merupakan seorang tentera manakala Aiza Nur Elysha .merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu. – Majestic
