KLANG: Istiadat Persandingan Diraja antara Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan pasangannya, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz berlangsung dengan penuh adat di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, malam ini.
Istiadat penuh bersejarah itu bermula kira-kira jam 7.30 malam dengan kehadiran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Pasangan pengantin diraja pula tiba pada jam 7.45 malam diiringi kerabat diraja dengan kedua mempelai kelihatan kacak dan anggun dengan persalinan songket berwarna krim.
Istiadat dimulakan dengan sesi merenjis yang dimulakan oleh Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor.
Istiadat diteruskan bonda Tengku Amir Shah, Puan Nurlisa Idris Abdullah disusuli kerabat diraja serta ibu bapa pengantin perempuan.
Turut hadir memeriahkan istiadat ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, kerabat diraja, pegawai kanan kerajaan, serta jemputan kehormat lain.
Istiadat persandingan diraja itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir sebelum diteruskan dengan majlis santapan diraja di Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah.
Istiadat Pernikahan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dengan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz disempurnakan oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, pada 2 Oktober lalu.
Menurut Selangor Royal Office, akad ijab dan kabul dimeterai tepat jam 10.05 pagi dengan sekali lafaz disusuli dengan 11 das tembakan meriam di pekarangan Istana Alam Shah.
Dalam pada itu, pasangan pengantin diraja dijangka mencemar duli menyantuni rakyat jelata dalam Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja bersama Rakyat yang dijadualkan berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 7 November ini bermula jam 8 hingga 11 malam. – BH
