PUTRAJAYA: Pelakon dan usahawan, Eira Syazira, 41, enggan melayan tuduhan buli yang dikaitkan dengan anak sulungnya, Ammara Sofea Rose, 12, kerana yakin anaknya tidak terbabit dengan perbuatan sedemikian.
Eira berkata, isu itu sampai ke pengetahuannya selepas menerima banyak mesej langsung (DM) daripada peminat yang berkongsi artikel mengaitkan nama anak kepada personaliti radio dengan kes buli di sekolah.
“Saya tahu pasal isu itu selepas ramai hantar DM mengenai artikel berkenaan. Ramai yang sebut nama saya dan Pak Azad .
“Tapi saya tak baca dan tak balas sebab itu bukan Ammara. Jadi, saya pilih untuk tak layan. Artikel itu kata anak personaliti radio tu mengejek warna kulit mangsa.
“Bila saya tanya Ammara, dia jawab kenapa dia nak ejek orang, sedangkan warna kulit dia sendiri pun gelap,” katanya ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharunya Bawang Putih Bawang Merah, di sini, petang tadi.
Menurut Eira, sebagai ibu bapa, dia dan suami, pelakon dan penyampai radio, Azad Jasmin, pastinya sudah bertanya kepada anak untuk mendapatkan kepastian, namun mereka percaya Ammara bukan seorang pembuli.
“Tentu sekali kami tanya dia. Saya juga tunjuk tuduhan itu pada Ammara. Tapi saya yakin dia tak terlibat dengan perbuatan membuli sampai nak mengasari atau memukul mangsa,” katanya.
Eira menambah, Ammara juga tidak menunjukkan sebarang perubahan emosi meskipun dikaitkan dengan tuduhan berkenaan.
“Tak ada apa-apa perubahan sebab semua tahu itu bukan dia,” katanya ringkas.
Terdahulu, seorang individu meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa anak perempuannya menjadi mangsa buli di sekolah sejak Julai tahun lalu hingga menjejaskan kesihatan mental serta emosi.
Wanita itu mendakwa, pelaku termasuk anak kepada seorang penyampai radio terkenal. Difahamkan, ibu pelaku ada memohon maaf melalui pihak sekolah selepas bahan bukti dikemukakan.
Difahamkan, lima pelajar termasuk anak personaliti radio berkenaan hanya dikenakan tindakan amaran oleh pihak sekolah. – BH
