BAMAKO, Mali: Halima Cisse, wanita yang memegang rekod dunia sebagai ibu kepada anak paling ramai dilahirkan dalam satu kelahiran, mencuri perhatian sebelum ini, apabila berkongsi beberapa gambar kenangan ketika kehamilan luar biasanya di aplikasi Instagram.
Halima, 29, dan pasangannya, Abdelkader Arby, baru-baru ini menyambut ulang tahun kelahiran keempat sembilan cahaya mata mereka pada Mei lalu, yang dikenali sebagai Nonuplets Mali' ataumelahirkan sembilan bayi serentak Mali’ sekali gus mencipta sejarah sebagai kelahiran bukan kembar pertama yang semua bayinya berjaya diselamatkan.
Pasangan itu meluahkan rasa rindu terhadap detik-detik awal perjalanan menjadi ibu bapa apabila memuat naik beberapa gambar mengimbau kembali kehamilan dan kelahiran di laman media sosial mereka kepada 57,000 pengikut.
“Kenangan yang tidak dapat dilupakan empat tahun lalu.
“Inilah antara gambar-gambar istimewa dan jarang dilihat, sejurus selepas kelahiran permata hati kami di dalam inkubator kecil masing-masing, serta sekeping foto berharga semasa kehamilan luar biasa Halima,” menurut kapsyen pada koleksi gambar yang dimuat naik itu.
Pasangan itu berkata, ia satu keajaiban kehidupan, kekuatan yang luar biasa dan kasih sayang yang tidak terhingga.
“Kami sangat bersyukur atas sejauh mana kami melangkah serta sokongan yang tidak putus-putus sejak dari awal lagi.
“Terima kasih kepada semua yang bersama kami sejak hari pertama,” kata pasangan itu.
Pada 4 Mei 2021, Halima selamat melahirkan sembilan bayi merangkumi empat lelaki iaitu Mohammed VI, Elhadji, Oumar dan Bah serta lima perempuan iaitu Kadidia, Fatouma, Hawa, Adama dan Oumou.
Semua mereka dilahirkan secara pembedahan pada usia kandungan 30 minggu iaitu kira-kira 10 minggu lebih awal daripada tempoh kehamilan normal 40 minggu.
Berat setiap bayi ketika dilahirkan adalah antara 0.5 hingga 1 kilogram.
Kelahiran itu mencatat sejarah sebagai kes pertama di dunia di mana semua nonuplets berjaya dilahirkan dan diselamatkan, sekali gus menerima pengiktirafan Rekod Dunia Guinness.
Sebelum ini, Halima dan Abdelkader sudah pun mempunyai seorang anak perempuan bernama Arby yang kini berusia enam tahun. – AGENSI
