MELAKA: Kekurangan pengalaman menjadi faktor Melaka FC sekadar seri 1-1 dengan Penang FC pada aksi sulung Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Ketua jurulatih K Devan berkata semua pemain import membuat penampilan sulung mereka dalam Liga Super, berbeza dengan import lawan seperti Bruno Suzuki dan Tchetche Kipre yang sudah berpengalaman.
“Kebanyakan pemain kami sebelum ini beraksi di Liga A1 Semi-Pro, jadi pembentukan pasukan baharu ini memerlukan sedikit masa untuk mantap dan meyakinkan,” katanya sambil menyifatkan kehadiran beberapa pemain berpengalaman tempatan turut membantu.
Devan mengakui pasukannya seperti kekurangan pemimpin di tengah padang selain berdepan masalah komunikasi dengan pemain import Brazil yang tidak fasih berbahasa Inggeris.
Beliau melihat aksi babak kedua lebih baik selepas Melaka berjaya mengimbangi permainan dan mencipta peluang, walaupun gagal mengekang gol pendahuluan lawan pada babak pertama.
“Keputusan ini medium untuk kita beraksi lebih baik selepas ini,” katanya, sambil menambah beliau akan memantau kecederaan dua pertahanan, Ahmad Haziq Puad dan Nasir Basharuddin, sebelum aksi seterusnya.
Pada aksi itu, Penang mendahului pada minit ke-28 menerusi Dylan Wenzel-Halls sebelum Juan Douglas menyamakan kedudukan pada minit ke-69.
Sementara itu, jurulatih Penang, Wan Rohaimi Wan Ismail kecewa kelekaan ketika bertahan selepas mendahului menyebabkan mereka sekadar seri 1-1 dengan Melaka.
“Kami sepatutnya mampu elakkan gol itu, tetapi setiap pemain mengharapkan orang lain melakukan cabaran, akhirnya lawan bebas menanduk masuk,” katanya yang mahu anak buahnya lebih bijak mengawal tekanan dan membuat keputusan tepat.
Bagaimanapun, Wan Rohaimi memuji peningkatan semangat juang berbanding kekalahan 0-3 kepada Terengganu FC sebelum ini dan yakin mereka akan menemui rentak sebenar selepas ini. – BH
