JOHOR BAHRU: Keterangan 22 saksi diambil susulan kematian pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, 28 Julai lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner Ab Rahaman Arsad, berkata polis sedang menunggu laporan penuh bedah siasat sebelum melengkapkan siasatan kes.
Katanya, laporan penuh bedah siasat mangsa belum diperoleh susulan Jabatan Kimia masih menganalisis sampel diambil.
“Seramai 22 saksi dirakam keterangan oleh polis termasuk doktor rawatan awal, doktor yang melakukan bedah siasat, rakan sepelatihan, jurulatih dan ahli keluarga mangsa.
“Polis masih menunggu laporan bedah siasat Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi mengesahkan sebab kematian mangsa.
“Laporan bedah siasat mangsa mengambil masa kerana beberapa sampel masih dianalisis Jabatan Kimia.
“Bagaimanapun, polis akan merujuk Jabatan Pendakwaan Johor bagi mendapatkan nasihat berhubung keperluan tertentu untuk meneruskan dan melengkapkan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.
Hasil siasatan jawatankuasa siasatan kematian pegawai kadet PALAPES UTM mendapati tiada unsur penderaan dalam insiden Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (PULADA), Skudai, pada 28 Julai lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapati semua saksi mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.
Mohamed Khaled dilaporkan berkata, latihan dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu dilaksanakan mengikut garis panduan dan prosedur ditetapkan.
Kelmarin, ibu Syamsul Haris menggesa siasat kedua dijalankan dan bersedia kubur anaknya digali semula bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, dilaporkan berkata, permohonan berkenaan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membolehkan siasatan telus dilaksanakan tanpa melindungi mana-mana pihak.
Sementara itu, Ab Rahaman berkata, Bukit Aman meminta kes itu disiasat dengan teliti dan disegerakan susulan mendapat perhatian meluas.
“Polis Johor menjangkakan siasatan kes selesai dalam tempoh sebulan sebelum merujuk kertas siasatan ke Bukit Aman dan Jabatan Pendakwaan negeri untuk tindakan lanjut,” katanya. – BH
