KUALA LUMPUR: Adakah benar Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Program Pembangunan Bolasepak Negara atau National Football Development Program (NFDP) bakal diambil alih oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)?
Persoalan itu muncul selepas terdapat khabar angin yang mengatakan FAM bakal menguruskan program pembangunan yang ditubuhkan bagi melahirkan pemain masa depan bertaraf dunia itu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman ketika ditanya mengenai spekulasi itu menegaskan bahawa pihaknya bersedia memikul tanggungjawab besar sekiranya AMD dan NFDP diserahkan kepada badan induk itu.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, pihaknya menunggu keputusan rasmi mengenai perkara itu daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau Majlis Sukan Negara (MSN) yang ketika ini mengendalikan NFDP.
“Mungkin Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang akan umumkan atau pun seeloknya minta dia sendiri komen. Namun, kami bersedia (ambil alih NFDP) dan sewajarnya pembangunan bola sepak diletakkan di bawah FAM.
“Tidak boleh ada dua entiti menguruskan bola sepak. Kami sekarang ini bersedia untuk mengambil alih AMD (Akademi Mokhtar Dahari) dan juga NFDP. Kami bersedia, tetapi kami serahkan kepada KBS (untuk membuat keputusan),” katanya.
Program NFDP yang dilancarkan secara rasmi pada 2014 adalah program untuk meningkatkan kualiti bola sepak negara dengan melatih pemain di peringkat akar umbi untuk melahirkan pemain bertaraf dunia untuk beraksi di pentas antarabangsa.
Sebelum ini, media melaporkan NFDP bakal melalui proses penilaian semula oleh KBS dalam usaha memperkemaskan struktur dan keberkesanan program itu selaras dengan visinya untuk melahirkan bakat masa depan bertaraf dunia.
Hannah dilaporkan berkata, pihaknya akan mendapatkan khidmat bantuan badan induk bola sepak Asia iaitu Konfederasi Bola Asia (AFC) bagi melaksanakan tujuan itu. – BH
