Bunuh penuntut universiti: Polis sahkan teman lelaki rakan serumah suspek utama

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan suspek utama yang disyaki membunuh seorang penuntut wanita di sebuah kediaman di Cyberjaya pada minggu lalu, merupakan teman lelaki kepada rakan serumah mangsa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, maklumat itu diperoleh menerusi siasatan ke atas empat orang suspek.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek lelaki yang merupakan penganggur berusia 20-an itu telah berada di kediaman mangsa pada malam 24 Jun lalu dengan menggunakan kad akses serta kunci yang diserahkan oleh teman wanitanya yang pulang ke kampung selepas peperiksaan.

“Suspek yang berniat tidak baik ini telah mengambil kesempatan ke atas mangsa dengan memukul menggunakan satu objek sehingga menyebabkan kematian mangsa.

“Kenapa suspek berniat jahat masih dalam siasatan dan sebelum ini juga lelaki itu ada bermalam bersama teman wanitanya di rumah tersebut.

“Pada malam kejadian, apabila suspek tinggal disitu, dia terserempak dengan mangsa dan ketika itulah berlaku kejadian terbabit,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein menjelaskan bahawa laporan patologi tidak menunjukkan sebarang kesan bahawa mangsa dirogol, namun pihaknya masih masih meneruskan siasatan bagi mencari bukti sekiranya terdapat unsur seksual dilakukan ke atas mangsa.

Beliau juga mengesahkan bahawa suspek itu turut mencuri barangan kepunyaan si mati termasuk kad ATM, serta telefon bimbit.

“Kad ATM itu ada digunakan untuk membeli beberapa barangan selepas kejadian dan suspek turut melakukan samun selepas membunuh mangsa dengan mencuri beberapa barangan si mati.

“Suspek juga telah buang telefon bimbit, komputer riba selain kunci serta kad ATM milik mangsa,” katanya dan menambah sebahagian barangan yang dicuri itu telah ditemukan semula.

Hasil siasatan, suspek telah mengeluarkan wang sebanyak RM200 menggunakan kad ATM milik mangsa.

Media sebelum ini melaporkan mangsa yang berasal dari Kuching, Sarawak, ditemui mati oleh rakannya sekitar jam 10 pagi dalam unit kediamannya di Cyberjaya.

Mangsa yang juga penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, di sebuah universiti di Cyberjaya, tinggal seorang diri selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu.

Mangsa dijadualkan untuk menghadapi peperiksaan hari dia ditemui mati selain beberapa barangan berharga milik mangsa dilaporkan hilang disyaki dilarikan suspek. – UTUSANTV

More From Author

MCMC rakam keterangan individu muat naik kandungan jelik sentuh isu 3R

Jaguh dunia, Olimpian bersaing rebut gelaran Atlet Terbaik Anugerah SAM-100PLUS 2024