KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan siasatan dan merakam keterangan seorang individu susulan kandungan jelik bersifat perkauman yang dimuat naik di platform media sosialnya.
MCMC memaklumkan kandungan tersebut dipercayai menyentuh pelantikan Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu, dengan naratif perkauman berpotensi mencetus provokasi serta menggugat perpaduan dan keharmonian negara.
“Susulan itu, individu tersebut telah dipanggil bagi memberikan keterangan dan membantu siasatan. MCMC turut menyita satu unit telefon bimbit dan satu unit kad SIM untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Sehubungan itu, MCMC mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan sebarang kandungan yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R) terutamanya yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
MCMC kekal komited untuk memastikan ruang siber negara kekal selamat, sejahtera dan dihormati, selaras dengan usaha memperkukuh perpaduan nasional serta keharmonian antara rakyat pelbagai kaum di Malaysia. – Majestic
