Kota MADANI wajar jadi contoh pembangunan bandar berpaksikan rakyat – PM

PUTRAJAYA: Pembangunan Kota MADANI tidak harus dilihat projek fizikal berskala besar, sebaliknya menjadi simbol pendekatan baharu yang perlu dicontohi untuk pembangunan bandar di seluruh negara berpaksikan rakyat dan bukan ditentukan pemaju semata-mata, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perancangan bandar seharusnya dipandu oleh nilai budaya, kemanusiaan dan kesejahteraan sosial, bukan lagi didominasi oleh kehendak syarikat pemaju.

“Saya mahu Kota MADANI ini (menjadi) contoh bagi pembangunan bandar di semua kota-kota di negara kita. Saya minta, bagi pembandaran, kerja-kerja negeri, lihat apa yang boleh kita lakukan. Jangan hanya tunduk kepada pemaju. Kita yang merancang.

“Jangan projek itu ditentukan oleh syarikat semata-mata kerana kalau mereka tentukan, tentunya diberikan pandangan dan saranan yang hanya melihat kepada keuntungan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Kota Madani di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar turut menekankan bahawa perancangan bandar tidak harus hanya berfokus kepada keuntungan, sebaliknya perlu memenuhi keperluan rakyat termasuk penjawat awam.

“Penjawat awam tidak boleh menunggu lima tahun untuk perumahan. Kita mesti percepatkan. Kalau sambutan baik dan prosesnya lancar, saya sendiri akan pastikan ia dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk disegerakan,” katanya.

Mengulas konsep Kota MADANI, Anwar berkata pembangunan kota bukan sahaja perlu maju dari segi fizikal dan teknologi, sebaliknya sarat dengan nilai budaya dan rohani seperti yang digagaskan oleh sejarawan Islam, Ibnu Khaldun.

“Kota yang hebat bukan sekadar bangunan pencakar langit, tetapi mesti melambangkan kekuatan budaya dan sejarah. Kota moden yang ‘culturally barren’ (gersang) tidak dapat membina semangat kebersamaan, nilai dan jati diri masyarakat,” katanya.

Anwar menegaskan, perancangan Kota MADANI mengambil kira keselesaan dan keselamatan penduduk, termasuk penyediaan laluan pejalan kaki ke sekolah, masjid, tadika, dewan komuniti dan gimnasium.

“Bayangkan seorang ibu bapa dengan tiga anak kecil, semuanya boleh ke sekolah atau tadika hanya dengan berjalan kaki dari rumah. Itulah kota madani yang kita bayangkan – selamat, efisien dan penuh nilai kemanusiaan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pendekatan MADANI bukan gimik politik terutama menjelang pilihan raya, sebaliknya memberi perhatian kepada kelompok majoriti rakyat.

“Saya tidak mahu budaya populis dua bulan sebelum pilihan raya, cium bayi, makan di warung. Dari awal saya jadi Perdana Menteri, setiap Jumaat saya singgah di warung, makan, berbual dengan rakyat.

“Kita boleh bina menara, tapi jangan lupa gerai dan warung yang menjadi tempat makan 80 peratus rakyat Malaysia. Kalau kita boleh bina Merdeka 118, kenapa gerai dan warung kita tidak dibangunkan dengan baik di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Projek Kota MADANI bernilai RM4 bilion itu akan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) menerusi model kerjasama awam-swasta berkonsepkan build, lease, maintain and transfer (Bina-Pajak-Selenggara-Pindah–BLMT), tanpa membabitkan peruntukan kerajaan pada peringkat awal.

Kota Madani bakal merangkumi 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, sekolah menegak serta pelbagai kemudahan awam.

Pembangunan itu dirangka dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital pintar dan sistem mobiliti hijau.

Kemudahan lain yang dirancang termasuk institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekolah, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis, masjid, institusi kewangan serta reka bentuk berunsur budaya tempatan bagi mengekalkan warisan seni bina. – BH

More From Author

Muhamad Norazlan dilantik Panglima Tentera Udara Ke-21

Epal, oren import dikecualikan SST – Anwar