F&NHB bekal 100 peratus susu segar kepada kira-kira 1,200 sekolah

SEPANG — Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) membekalkan 100 peratus susu segar dari ladang tenusu F&N AgriValley di Gemas, Negeri Sembilan, kepada kira-kira 1,200 sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan menerusi Program Susu Sekolah (PSS).

Pengarah Libat Urus Kerajaan dan Industri F&NHB, Norazrin Norsyam Yee berkata, syarikat itu dilantik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai pembekal susu bagi Zon 9, yang meliputi ketiga-tiga negeri berkenaan.

“Apa yang saya maksudkan dengan susu segar adalah susu-susu ini adalah 100 peratus susu segar yang kita perah di ladang tenusu F&N AgriValley di Gemas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Norazrin berkata, F&NHB menjaga kualiti susu yang dibekalkan pada setiap peringkat, daripada pemakanan lembu dan proses pemerahan hingga pembungkusan.

Beliau berkata, syarikat itu turut menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kegiatan komuniti dengan kerjasama KPM, jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah bagi memupuk amalan pemakanan sihat dalam kalangan murid.

“Kami sangat menitikberatkan amalan pemakanan yang sihat,” katanya sambil menjelaskan bahawa pemakanan berkhasiat penting untuk menyokong tumbesaran dan perkembangan fizikal serta mental kanak-kanak.

Norazrin berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan CSR F&N Magnolia 2026 sempena Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia di SK Kompleks KLIA.

Majlis itu meraikan 45 sekolah, termasuk pemenang pertandingan CSR dalam tiga kategori dan sekolah yang menyertai program Cerdas Membaca Bersama F&N Magnolia.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Hal Ehwal Murid, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) KPM, Hirudin Mohit.

More From Author

MB N. Sembilan masuk hospital, alami demam

Sindiket seludup rokok, diesel RM31.6 juta tumpas