DESARU: Atlet Kyrgyzstan, Evgeny Tikhonin dan Mariia Kurchenko, masing-masing menjuarai kategori elit lelaki dan wanita dalam perlumbaan IRONMAN 70.3 Desaru Coast sempena Festival Pelbagai Sukan Desaru Coast edisi kelima yang menghimpunkan lebih 1,000 atlet dari 60 negara.
Festival yang berlangsung dari 24 hingga 26 Julai itu menampilkan acara utama IRONMAN 70.3 Desaru Coast bersama 5150 Triathlon, Sprint Triathlon dan IRONKIDS, sekali gus mengukuhkan kedudukan Desaru Coast sebagai antara destinasi utama sukan ketahanan dan pelancongan sukan di Asia Tenggara.
Tikhonin merangkul gelaran lelaki elit dengan catatan masa 3:49:35, menewaskan juara bertahan dari Australia, Jed Radbone (3:57:28), manakala rakan senegaranya, Ilya Kosov, di tempat ketiga (4:03:48). Kemenangan itu merupakan gelaran ketiga IRONMAN 70.3 buatnya dan yang kedua musim ini.

“Renangan berjalan lancar walaupun ombak agak kuat. Laluan basikal sangat baik tetapi agak panas pada separuh kedua. Laluan larian pula sangat mencabar kerana cuaca panas dan terasa seperti tiada angin.
“Saya tidak datang untuk mencatat rekod peribadi. Sasaran utama ialah kemenangan,” katanya sambil menyifatkan perlumbaan itu sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Dunia IRONMAN 70.3 di Nice, Perancis pada September ini.
Dalam kategori wanita, Kurchenko muncul juara dengan masa 4:20:26, mengatasi atlet Singapura, Ling Er Choo (4:26:36), dan wakil Hong Kong, Lisa Cheng (5:08:10), sekali gus mencipta kemenangan dalam penampilan sulungnya di Malaysia.

“Saya sangat gembira. Ini pertandingan pertama saya di Malaysia dan saya sangat menyukainya. Laluan renang lebih pendek, sedangkan renang adalah kekuatan saya.
“Visor topi keledar dan cermin mata saya basah ketika berbasikal, tetapi saya tetap gembira kerana berjaya menamatkan perlumbaan dan menang,” katanya sambil memaklumkan penyertaannya adalah atas cadangan jurulatihnya, Ilya Kosov.
Malaysia turut mencuri tumpuan apabila Teh Kuok Yuen muncul atlet lelaki tempatan terpantas selepas menduduki tempat kelima keseluruhan dengan catatan 4:17:45 walaupun berdepan masalah kekejangan kaki ketika larian.
“Hari ini memang sukar. Renang sukar, berbasikal sukar dan larian juga sukar. Selepas tamat kayuhan, kaki saya mula kejang. Mujur keadaan bertambah baik selepas beberapa kilometer sebelum kekejangan kembali pada penghujung perlumbaan,” katanya sambil menegaskan disiplin dan latihan konsisten menjadi kunci beliau kekal kompetitif.

Dalam kategori wanita, Yen Chia mempertahankan status atlet wanita Malaysia terpantas buat tahun kedua berturut-turut selepas menamatkan perlumbaan dalam masa 5:09:55.
“Cuaca hari ini sebenarnya sangat baik. Cuma renangan amat mencabar. Ia adalah laluan renang paling sukar dalam hidup saya, tetapi laluan basikal dan larian sangat menyeronokkan,” katanya.
Pengarah Kanan Operasi IRONMAN Asia, CG Lim, berkata edisi kali ini sekali lagi membuktikan daya tarikan Desaru Coast sebagai destinasi sukan ketahanan bertaraf dunia.
“Kami mahu meneruskan momentum ini bersama semua rakan strategik bagi menarik lebih ramai peserta serta mengukuhkan Festival Pelbagai Sukan Desaru Coast sebagai antara acara sukan ketahanan utama di rantau ini,” katanya.
Selain IRONMAN 70.3, festival itu turut dimeriahkan dengan 5150 Triathlon, Sprint Triathlon, IRONKIDS serta pelbagai aktiviti sampingan, sekali gus mengukuhkan reputasi Desaru Coast sebagai destinasi utama penganjuran acara sukan antarabangsa dan pelancongan gaya hidup aktif. – MAJESTIC
