5 melecur, van pekerja terbakar langgar tiang elektrik

BATU PAHAT: Lima melecur apabila van pekerja yang dinaiki hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik dan terbakar berhampiran BP Speed Laundry, di sini malam ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Pegawai Bomba Kanan I Ridwan Gembur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 8 malam.

Seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya lapan kilometer.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati sebuah van pekerja terbabas dan melanggar tiang elektrik sebelum terbakar.

“Maklumat awal mendapati terdapat lima mangsa mengalami kecederaan melecur ketika menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, semua mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum PKO tiba di lokasi.

Menurutnya, semua mangsa yang berjaya mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dengan menggunakan EMRS untuk mendapat rawatan lanjut.

Katanya, PKO bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan tangki jentera sehingga berjaya dikawal.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat tong gas asetilena dalam van berkenaan.- MAJESTIC

More From Author

Pasangan penuntut kolej ditahan tikam, buang bayi dalam mangkuk tandas