Bapa didakwa bunuh bayi kandung, miliki bahan lucah

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai khidmat pelanggan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh bayi kandungnya dan memiliki bahan lucah, kira-kira tiga tahun lalu.

Tertuduh, G. Thevendhiran, 40, yang sebelum ini bekerja di Singapura mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa membunuh bayi lelakinya berusia 18 bulan di sebuah kondominium di Jalan Permas Selatan, Bandar Baru Permas di sini antara 8.30 pagi hingga 10 pagi pada 12 September 2023.

Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, atau dipenjarakan antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman gantung, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Deana Aqila Aliman sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 1 Oktober ini untuk serahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), patologi dan forensik.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Majistret A Sharmini menjatuhkan hukuman didenda RM3,000 dan penjara sebulan selepas tertuduh mengaku salah

memiliki gambar dan video lucah dalam telefon bimbit miliknya.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan kawasan tempat letak kereta di kondominium yang sama pukul 1 petang pada 18 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan dengan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin sementara tertuduh diwakili P

peguam Noor Asyikin Shafiqah Athan Malik daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Semalam, polis mengklasifikasikan semula kes kematian mangsa tiga tahun lalu sebagai kes bunuh susulan penahan bapa kandung mangsa yang dikenal pasti sebagai suspek utama pada 18 Julai lalu.

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa bapanya itu ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini pada 13 September 2023 dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian pinggang, perut menggelembung serta bengkak pada bahagian dubur mangsa.- MAJESTIC

More From Author

20 scammer China, Indonesia didakwa

Johor laksana sistem logistik halal