KULAI: Seorang wanita dan anak lelakinya maut apabila motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Gunung Pulai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5 petang.
“Kemalangan tersebut melibatkan motosikal jenis Honda dinaiki seorang wanita berusia 32 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dan kereta Proton Saga dipandu seorang wanita berusia 54 tahun.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal tersebut hilang kawalan lalu terbabas masuk ke arah bertentangan dan bertembung dengan kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, wanita dan kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu terbabit hanya cedera ringan dan sedang dirawat di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini.
Jelasnya, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim 017-7573507.
Boleh juga hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai.- MAJESTIC
