JOHOR: Dua lelaki warga Singapura menerima ‘habuan’ masing-masing apabila RM1,000 dan diperintah menjalani khidmat masyarakat selama enam jam oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuang puntung rokok di tempat awam.
Lim Hu Shen dan Tan Boon Haw, masing-masing berusia 38 tahun dijatuhi hukuman itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Kedua-duanya yang bekerja sebagai arkitek dan pengurus projek diperintahkan untuk melakukan khidmat masyarakat selama enam jam dengan tempoh dua jam sehari dan perlu dilaksanakan dalam tempoh enam bulan.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-duanya dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-duanya didakwa membuang sisa pepejal, iiaitu puntung rokok di tempat awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan bagi maksud membuang sisa pepejal berkenaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan pintu masuk utama KSL City Mall di sini antara jam 11 pagi dan 11.11 pagi pada 3 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan sebagai tambahan boleh dikenakan suatu perintah khidmat masyarakat di bawah subseksyen 77B(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 dan sebagai tambahan suatu perintah khidmat masyarakat maksimum 12 jam, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Rubiah Maulud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
