JOHOR BAHRU: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua cabang khususnya di Johor untuk menggerakkan kekuatan parti menjelang Pilihan Raya Negari (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Tegasnya, Ketua Cabang mahupun Ketua Wanita atau Ketua Pemuda bukan jaminan akan terpilih sebagai calon PKR.
“Tak ‘perform’ di cabang, jangan buat tuntutan. Kita banyak pengalaman yang merajuk, nak bantah, nak keluar, isu semua kita sudah lalui, yang jadi tunggaknya dan keputusan akhir adalah kekuatan sokongan.
“Bila nak PRU, bicaranya hebat, teorinya banyak, strateginya canggih tapi kekuatan bawah gambar. Justeru, diingatkan supaya gerakkan kekuatan parti.
“Ketua cabang bukan calon automatik calon, ketua wanita, ketua pemuda juga bukan, tapi yang automatik jadi calon itu, mereka bekerja, berdedikasi dan mampu menangkan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Keadilan Johor di Ekoflora di sini hari ini.
Anwar mengingatkan semua ahli parti agar tidak terlalu selesa setelah menjadi kerajaan sebaliknya terus kuat memperkukuh sokongan parti.
Justeru katanya, setiap ahli perlu tunjuk keihklasan dan komitmen kerja yang tinggi dalam membina kekuatan khususnya di peringkat akar umbi.
“Kita perlu ingat, bukan mudah untuk berada di kedudukan pada hari ini. Parti ini penuh dengan perjuangan, kalau mahu pertahankan kedudukan, kita perlu tunjuk contoh yang baik.
“Ini kerana kita belum ada kekuatan untuk putuskan semua perkara. Jadi, kita perlu persiapkan diri sebelum tibanya pilihan raya,” ujarnya.- MAJESTIC
