Pemuda maut tercampak, motosikal bergesel lori sampah

JOHOR BAHRU: Seorang pemuda maut tercampak apabila motosikal ditunggang bergesel dengan lori sampah di Jalan Felda Cahaya Baru, Masai di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 8.50 pagi melibatkan sebuah motosikal dan lori angkut sampah.

“Motosikal tersebut ditunggang mangsa yang berusia 31 tahun manakala lori sampah berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun.

“Siasatan awal mendapati mangsa sedang menunggang dari Sungai Tiram menuju ke tempat kerja di Pasir Gudang manakala lori dari arah bertentangan menghala ke Sungai Tiram,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian yang merupakan jalan selekoh, kedua-dua kenderaan bergesel di bahagian sisi kanan.

Katanya, akibat kemalangan tersebut mangsa tercampak atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian dada sebelah kanan.

Beliau memberitahu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Ulu Tiram manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihaknya meminta saksi kejadian untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis

menerusi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.- MAJESTIC

More From Author

Harga minyak petrol, diesel terus melonjak

Subsidi dikurangkan 200 liter BUDI95 bermula bulan depan