ISKANDAR PUTERI: Penduduk Kampung Melayu Majidee hari ini menyerahkan permohonan rasmi dan petisyen kepada Menteri Besar Johor bagi menuntut pertukaran tanah rizab Melayu (TRM) hak milik kekal daripada berstatus TRM pajakan negeri 99 tahun, ketika ini.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam), Abdul Rahim Md Shariff berkata, permohonan dan petisyen itu merupakan kali kedua dan kali kali ini dibuat selepas penyerahan pertama tidak mendapat sebarang maklum balas.
“Permohonan pertama dihantar pada 8 September tahun lalu. Tahun ini, kami sekali lagi menghantar petisyen baharu yang mendapat sokongan hampir keseluruhan penduduk dengan kadar persetujuan sekitar 98 peratus.
“Kampung Melayu Majidee melibatkan lebih kurang 1,432 lot tanah. Kerajaan negeri perlu memberikan maklum balas rasmi terhadap surat permohonan kami.

“Selepas itu barulah rundingan dapat diadakan di peringkat kerajaan negeri. Sekiranya ditolak, sudah tentu kami akan membuat rayuan kerana komitmen penduduk jelas iaitu mereka mahu mendapatkan hak milik kekal bukan sambung pajakan,” katanya. selepas menyerahkan memorundum kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor untuk dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.
Penyerahan tersebut dilakukan di Bangunan Sultan Ismail di sini.
Dua ADUN tersebut ialah ADUN Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan ADUN Endau, Alwiyah Talib.
Sementara itu, peguam mewakili Perkam, Mohamad Alias Rasman berkata, Kerajaan negeri boleh mempertimbangkan penggunaan mekanisme sekatan kepentingan jika bimbang untuk meluluskan status hak milik kekal kepada pemilik tanah di Kampung Melayu Majidee.
“Jika bimbang pemilik akan menjual atau memindahkan pegangan tanah sebaik sahaja diberikan geran kekal boleh ditangani melalui kaedah sekatan.
“Dengan sekatan ini, apa-apa urusan jual, gadai atau cagaran hanya boleh dibuat dengan kebenaran Pejabat Tanah atau pihak berkuasa negeri,” katanya.
Kerajaan negeri juga katanya, boleh melakukan pemutihan untuk kenal pasti siapa pemilik, siapa penyewa dan jika ada warga asing.
Pada 20 April lalu, media melaporkan bahawa lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee terus hidup dalam dilema apabila permohonan mereka untuk menukar status tanah kediaman daripada TRM berstatus pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.
Tempoh pajakan TRM Kampung Melayu Majidee dijadual berakhir pada 2053, iaitu 28 tahun lagi, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terhadap masa depan mereka, termasuk kemungkinan kampung tersebut dibangunkan secara komersial.
Kampung Melayu Majidee merupakan penempatan Melayu kedua terbesar selepas Kampung Baru, Kuala Lumpur, dan terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru dengan keluasan kira-kira 730 hektar.- Majestic
