KLUANG: Seorang lelaki maut apabila motosikal kuasa tinggi ditunggangnya melanggar sebuah kereta yang membelok secara tiba-tiba di Kilometer 44, Jalan Batu Pahat-Mersing di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan berlaku pukul 10 malam melibatkan motosikal jenis Honda CBR1000RR dan sebuah kereta Proton Saga Iswara.
“Siasatan mendapati mendapati motosikal tersebut yang ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun dalam perjalanan dari arah Ayer Hitam menghala ke Kluang.
“Semasa sampai di tempat kejadian motosikal terbabit tidak sempat mengelak Proton Saga Iswara berkenaan yang datang dari arah bertentangan dan membelok ke simpang kanan secara tiba-tiba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat kemalangan tersebut penunggang terbabit mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu kereta tersebut katanya, iaitu seorang warga emas berusia 74 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala isterinya yang berusia 70 tahun cedera di bahagian dada.
Wanita berkenaan ujarnya, dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini, kes disiasat bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi IPD Kluang di talian 07-7784222, 07-7766822 (hotline), 07-7784256 (direct line) dan 014-365682 (tablet DCC). – Majestic
