31 remaja antara 117 ditahan kerja guna MyKad orang lain

JOHOR BAHRU: Seramai 31 remaja bawah umur termasuk masih bersekolah antara 117 pekerja kilang yang ditahan dalam operasi di sebuah kilang kotak di Taman Teknologi Johor, Senai hari ini.

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Mohammad Khairu Farhan Md Saad berkata, Ops Kotak tersebut dijalankan selama tiga jam bermula 3 petang hasil maklumat awam selepas risikan selama beberapa bulan.

“Secara keseluruhan 233 pekerja warga tempatan dan asing antaranya dari Filipina dan Indonesia termasuk staf kilang diperiksa. Daripada jumlah pemeriksaan itu seramai 86 pekerja warganegara asing ditahan.

“Ini melibatkan 19 lelaki dan 67 wanita dewasa manakala 31 lagi adalah remaja bawah umur melibatkan 16 remaja lelaki dan 15 remaja perempuan yang majoritinya adalah warga tempatan dengan paling muda berusia 14 tahun,” katanya selepas operasi itu.

Siasatan mendapati remaja bawah umur tersebut ada yang masih bersekolah dan sudah tidak bersekolah lagi, mereka bekerja separuh masa.

Remaja terbabit katanya, ditahan kerana menggunakan kad pengenalan orang lain iaitu adik beradik atau saudara mereka semasa meminta kerja bagi mengaburi mata pihak pengurusan kilang.

Menurutnya, bagi pekerja asing terbabit didapati menggunakan kad pengenalan palsu dan juga kad pengenalan orang lain yang dipercayai diperoleh daripada ejen mereka di negara masing-masing.

Beliau percaya, itu merupakan modus operandi pekerja asing dan pekerja bawah umur itu untuk mendapatkan kerja dengan
menggunakan kad pengenalan orang lain atau kad pengenalan palsu.

“Sementara pemeriksaan terhadap staf kilang terbabit pula melibatkan 32 lelaki dan 49 wanita tetapi tiada yang ditahan,” katanya.

Mohammad Khairu Farhan memberitahu, semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut bawah Peraturan 25(1)(E) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Pihaknya akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi proses pendakwaan dan juga remaja tersebut bagi tindakan lanjut.

Tambahnya, operasi tersebut melibatkan 86 anggota penguat kuasa iaitu 56 dari JPN Putrajaya, Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka serta 30 dari Jabatan Imigresen. – Majestic

More From Author

TRM: Penduduk Kg. Melayu Majidee serah petisyen

Haaland nadi kebangkitan Norway