Pencemaran sungai: Onn Hafiz patut contohi Hishammuddin

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi disaran mengadakan sidang akhbar khas menjelaskan perkembangan terkini dan langkah penyelesaian dalam isu pencemaran Sungai Johor yang amat serius.

Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) Johor, Alias Rasman berkata, isu pencemaran sungai tersebut yang mengakibatkan gangguan bekalan air di banyak kawasan di negeri ini bukan perkara kecil kerana ramai terjejas.

“Dikhabarkan sidang media rasmi kerajaan negeri akan diadakan petang ini oleh Exco, bukan Menteri Besar, hanya selepas beberapa hari kemelut ini berlaku.

“Ini tidak baik. Ya, bekalan air telah mula pulih, tetapi rakyat masih kecewa kerana kerajaan dilihat gagal menjelaskan dengan jelas apa yang sebenarnya berlaku dan apa tindakan seterusnya.

“Media pula tiap-tiap hari melaporkan berita tentang pencemaran sungai ini. Daripada keluhan rakyat, di sekolah, kerugian nelayan hinggalah gangguan dalam pengurusan jenazah. Ini menunjukkan kesan daripada pencemaran,” tulisnya dalam hantaran menerusi media sosial Facebook miliknya hari ini.

Katanya, Onn Hafiz sepatutnya mencontohi bapa saudaranya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang merupakan bekas Menteri Pertahanan semasa mengendalikan sidang akhbar harian berkenaan perkembangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang pada Mac 2014.

Katanya, cara Hishammuddin mengendalikan sidang akhbar berkenaan krisis tersebut wajar diteladani.

“Datuk patut belajar satu dua perkara bagaimana bapa saudara Datuk mengendalikan sidang akhbar dengan tenang, telus dan tegas dalam komunikasi. Kepimpinan dalam masa krisis memerlukan keberanian dan kejelasan,” katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata, kadar pemulihan bekalan air di beberapa kawasan di negeri ini sudah mencapai 94 peratus setakat pukul 5 petang semalam.

Menurutnya, bekalan air secara keseluruhan akan pulih dijangka dalam masa 8 hingga 12 jam lagi.

Jumaat lalu, pencemaran lumpur di hulu Sungai Johor disedari penduduk pada pukul 7 pagi akibat insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

Mohamad Fazli dilaporkan berkata, paras kekeruhan air meningkat kepada 37,400 unit Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU.

Susulan itu, katanya, kerajaan negeri mengambil langkah segera meningkatkan pelepasan air dari Empangan Linggiu bagi mencairkan lumpur dan mengurangkan tahap kekeruhan di Sungai Johor.

Pencemaran Sungai Johor yang berlaku sejak Jumaat lalu menjejaskan bekalan air melibatkan 1.8 juta isi rumah dan pendapatan 150 nelayan. – Majestic

More From Author

Arteta puji potensi luar biasa Dowman

Dadah RM11.47 juta dirampas, sindiket lumpuh