Dadah RM11.47 juta dirampas, sindiket lumpuh

JOHOR BAHRU: Polis negeri ini melumpuhkan sindiket pengedaran dadah apabila menahan seorang lelaki dan merampas 115.09 kilogram dadah bernilai RM11.4 juta dalam serbuan di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri di sini kelmarin.

Serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Kontinjen Johor itu selepas melakukan risikan dan maklumat daripada orang awam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, lelaki tempatan berusia 55 tahun yang bertindak sebagai penjaga stor bagi sindiket berkenaan ditahan.

“Suspek ditahan di sebuah rumah teres berpagar dan terkawal yang disewa untuk dijadikan lokasi penyimpanan serta pemprosesan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Hasil pemeriksaan di lokasi menemui pelbagai jenis dadah antaranya 17 paket plastik pil ekstasi seberat 25.24 kilogram (kg); 22 paket plastik syabu (23.10 kg); 13 bekas plastik serbuk MDMA (22.43 kg) dan 13 paket plastik ketamin (13.4 kg).

“Ini termasuk 300 paket plastik serbuk pil ekstasi (11.51 kg); satu paket plastik pil erimin 5; 6,000 papan keranjang timah berisi dadah pil erimin 5 (19.41 kg) dan pelbagai peralatan memproses dadah,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Pihak polis turut menyita harta dianggarkan bernilai RM75,000 melibatkan sebuah kereta Toyota Vios dan wang tunai RM10,000, menjadikan nilai keseluruhan rampasan serta sitaan RM11.47 juta.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu aktif sejak Julai lalu dan dipercayai memperoleh bekalan dadah dari negara ini sebelum dipercayai diedarkan ke pasaran tempatan.

Selain itu katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah, semakan lanjut mendapatinya dua rekod kesalahan dadah, satu rekod jenayah dan satu kesalahan trafik.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan,” ujarnya.

Pihaknya percaya masih terdapat saksi baki ahli sindiket itu yang masih bebas dan pihak polis sedang giat mengesannya. – Majestic

More From Author

Pencemaran sungai: Onn Hafiz patut contohi Hishammuddin

JAKIM sudah arah MFW tarik balik pengiktirafan ‘Muslim Choice’ – Menteri