Arteta puji potensi luar biasa Dowman

PRAGUE: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta, memuji bakat “luar biasa dan sukar diajar” dimiliki Max Dowman selepas pemain muda England itu menjadi pemain termuda dalam sejarah beraksi di Liga Juara-Juara Eropah, pada usia 15 tahun dan 308 hari.

Dowman dimasukkan pada minit ke-72 menggantikan Leandro Trossard ketika Arsenal menang 3-0 ke atas Slavia Prague, awal pagi tadi.

“Bola pertama yang dia sentuh, dia terus mencabar lawan. Dia mula menggelecek dan memenangi sepakan percuma. Itu menunjukkan personaliti dan keberanian.

“Itu bukan sesuatu yang boleh diajar – sama ada kamu memilikinya atau tidak. Tak kira umur atau pasportnya, dia mampu menyesuaikan diri dalam suasana sebegini dan bermain dengan baik.

“Kami mempunyai pemain dengan masa depan cerah di sini,” kata Arteta.

Dowman sebelum ini sudah mencipta nama sebagai pemain termuda Arsenal yang turun dalam kesebelasan utama, ketika menentang Brighton & Hove Albion dalam aksi Piala Liga minggu lalu.

Beliau membuat penampilan sulung bersama pasukan utama pada Julai lalu, sebelum mencipta sejarah sebagai pemain kedua termuda dalam sejarah Liga Perdana Inggeris pada Ogos, di belakang rakan sepasukannya Ethan Nwaneri.

Nwaneri, yang turut beraksi di Prague, membuat penampilan sulung Liga Perdana pada usia 15 tahun 181 hari bersama Arsenal pada tahun 2022.

Dalam saingan Liga Juara-Juara, Dowman memecahkan rekod yang dipegang pemain Borussia Dortmund, Youssoufa Moukoko, yang melakukan tampil pada usia 16 tahun 18 hari pada tahun 2020.

Rakan sepasukannya, Mikel Merino, yang menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua sebelum Dowman dimasukkan, turut memuji pemain muda itu.

“Setiap kali dia masuk ke padang, dia menampilkan permainan yang luar biasa. Kamu boleh lihat gaya permainannya penuh tenaga, keyakinan dan kreativiti. Seronok melihatnya bermain,” kata Merino. – REUTERS

More From Author

Slot puji semangat juang pemain, aura Anfield

Pencemaran sungai: Onn Hafiz patut contohi Hishammuddin