KLUANG: Walaupun baru sebulan kenal, namun penganggur sudah berani menggatal dengan seorang ibu tunggal.
Akibatnya, dia ditahan kerana disyaki mencabul ibu tunggal itu di dua lokasi berasingan di sekitar bandar ini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, polis menerima laporan tentang kejadian pada pukul 3.36 petang semalam daripada mangsa yang berusia lewat 40-an.
“Berdasarkan laporan, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 2 petang dalam kereta milik mangsa.
“Sebelum itu mangsa dan suspek yang kedua-duanya tidak bekerja berkenaan menerusi media sosial sebulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menahan suspek.
Menurutnya, suspek berkenaan yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun ditahan pukul 4 pagi semalam.
“Hasil siasatan mendapati lelaki terbabit tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan saringan ujian air kencingnya didapati negatif,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama 20 tahun atau denda atua kedua-duanya.
Mahkamah Majistret di sini membenarkan suspek direman selama empat hari mulai semalam bagi membantu siasatan. – Majestic
