Bakal nikah tahun depan, Tiz Zaqyah pilih jejaka setaman

KUALA LUMPUR: Pelakon, Tiz Zaqyah, 37, akhirnya bersedia menamatkan zaman bujang apabila mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga tahun depan dengan lelaki pilihan hatinya yang juga kenalan lama sejak kecil.

Menariknya, jejaka bertuah itu bukan orang asing dalam hidup Tiz, sebaliknya rakan yang tinggal di taman perumahan sama dan sudah dikenalinya sejak zaman kanak-kanak.

Tiz bagaimanapun memilih untuk tidak mendedahkan tarikh pernikahan, namun mengakui kedua-dua keluarga mereka sudah lama saling mengenali serta merestui hubungan berkenaan.

“Kami kenal sudah lama, sejak zaman kanak-kanak lagi. Dia bukan orang industri, tapi adik kepada seorang pelakon.

“Kami tinggal di kawasan perumahan sama dan keluarga kami memang saling mengenali. Kalau raya nanti senanglah, tak perlu gaduh nak balik kampung siapa dahulu,” katanya ditemui pada sidang media drama Impiana: Karma di DADI Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, semalam.

Selain Tiz, drama yang turut menampilkan Dpelakon popular seperti Che Puan Juliana Evans, Ezzanie Jasny, Adriana Adnan, Yuna Rahim, Sharifah Haneesya, Nas-T, Aniq Suhair dan Lorenzo Irmann itu bakal disiarkan di saluran Astro Ria bermula 19 November ini.

Ditanya mengenai keistimewaan jejaka berkenaan hingga membuatkannya terpikat, Tiz yang mula mencipta nama menerusi drama bersiri Nur Kasih itu mengakui mereka mempunyai banyak persamaan.

“Kami mula serius sejak setahun lalu. Perasaan itu datang secara semula jadi. Kami berkawan lama dan kemudian buat keputusan untuk berkahwin.

“Alhamdulillah, saya gembira dan bahagia sekarang. Cuma buat masa ini saya belum bersedia mendedahkan identiti dirinya. Saya bimbang dengan penyakit ain.

“Insya-Allah, bila tiba masanya nanti saya akan buat pengumuman rasmi. Doakan yang baik-baik,” katanya,

Dalam pada itu, Tiz turut berkongsi mengenai keadaannya selepas diserang gastrik dan keracunan makanan sehingga dimasukkan ke unit kecemasan baru-baru ini.

“Sebenarnya saya tak tahu pun saya ada gastrik. Kejadian itu berlaku selepas saya makan makanan pedas di sebuah medan selera. Saya memang ‘hantu’ makanan pedas.

“Ini kali pertama saya kena serangan gastrik. Masa tu saya muntah-muntah, cirit-birit dan badan lemah, sampai nak berjalan pun tak larat hingga terpaksa didukung,” katanya.

Tiz memberitahu, dia hanya dirawat separuh hari di hospital sebelum dibenarkan pulang selepas menerima rawatan dan ubat-ubatan.

“Selepas masukkan drip dan makan ubat, saya minta untuk balik. Doktor ada bagi cuti sakit supaya saya berehat, tapi saya tolak sebab perlu siapkan baki penggambaran yang tertangguh,” katanya.

Terdahulu, Tiz berkongsi pengalaman itu menerusi hantaran di media sosial yang memaparkan dirinya terbaring di wad dan sedang menerima rawatan.

“Pertama kali tumbang, gigil naik kerusi roda masuk wad kecemasan, masuk drip. Alhamdulillah, rasa lebih baik tapi gastrik dan keracunan makanan bukan perkara kelakar.

“Saya rasa macam tak ada harapan dah masa tu, sakit sampai kejang tangan dan kaki. Traumanya lain macam. Minum pun muntah balik, cirit-birit pun ada,” tulisnya dalam perkongsian berkenaan. – BH

More From Author

Pearly-Thinaah kini nombor satu

Cabul ibu tunggal selepas sebulan kenal