Slot puji semangat juang pemain, aura Anfield

LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Arne Slot memuji kualiti lawan serta semangat penyokong di Anfield selepas skuad bimbingannya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Jaringan tunggal menerusi tandukan Alexis Mac Allister di babak kedua sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan penting itu, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah Real Madrid dalam saingan elit Eropah musim ini.

“Menakjubkan, sebab kami menewaskan pasukan yang luar biasa – mereka hanya kalah sekali musim ini dan menang semua perlawanan lain. Jadi untuk kami bermain dan menang seperti ini, ia sangat positif.

“Beberapa minggu kebelakangan ini agak sukar – banyak perlawanan di tempat lawan dan masa rehat yang sangat singkat. Tapi bermain di depan penyokong sendiri dan menentang pasukan seperti Real Madrid memang membangkitkan semangat pemain dan penyokong.

“Satu persembahan hebat… sepatutnya kami boleh dapat lebih lagi,” kata Slot.

Slot turut memuji disiplin pertahanan Liverpool yang berjaya mengekang ancaman Kylian Mbappe dan Vinicius Junior.

“Saya katakan sebelum perlawanan bahawa mereka sudah menjaringkan 26 gol dalam LaLiga dan Mbappe serta Vinicius menyumbang 24 daripada jumlah itu. Jadi kalau mahu menang, kami perlu pastikan mereka tidak menjaringkan gol,” katanya.

Beliau turut menyanjung persembahan Conor Bradley, bek kanan berusia 22 tahun yang beraksi cemerlang mengawal Vinicius.

“Conor memang luar biasa. Untuk berdepan Vinicius secara satu lawan satu berkali-kali bukan mudah. Dia bermain dengan hebat hari ini,” tambahnya.

Kemenangan ini adalah yang kedua berturut-turut buat Liverpool selepas menewaskan Aston Villa 2-0 dalam Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu, sekali gus menamatkan rentetan empat kekalahan liga berturut-turut. – REUTERS

More From Author

Kes bunuh pempengaruh wanita Taiwan: Namewee direman 6 hari

Arteta puji potensi luar biasa Dowman