Haaland nadi kebangkitan Norway

MANCHESTER: Erling Haaland muncul sebagai watak utama di sebalik kebangkitan Norway apabila menjaringkan 16 gol dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026, sekali gus membantu negara kecil Scandinavia itu menempah slot ke Piala Dunia buat kali pertama sejak tahun 1998.

Penyerang Manchester City itu meledak dua gol ketika Norway menewaskan Itali 4-1 di San Siro, menjadikan jumlah keseluruhan 16 gol – dua kali ganda daripada mana-mana pemain Eropah lain dalam saingan kelayakan.

Haaland, 25, turut menjaringkan lima gol dalam kemenangan besar 11-1 ke atas Moldova dan sekurang-kurangnya satu gol dalam setiap lapan perlawanan Norway.

“Semuanya tentang berada dalam situasi yang membolehkan saya menjaringkan gol. Ini benar-benar gila. Saya bangga dan sangat gembira. Kemenangan 4-1 di tempat lawan… ia menunjukkan kami semakin sukar dijangka,” kata Haaland.

Pencabar terdekatnya – Harry Kane, Memphis Depay dan Marko Arnautovic – masing-masing hanya mengumpul lapan gol.

Pengendali Norway, Stale Solbakken, menyanjung Haaland sebagai “mesin gol”, sambil mengakui peminat Itali turut memberi tepukan hormat kepada bintang itu.

Tepukan itu bukan sekadar untuk golnya, tetapi kerana kehebatannya sebagai penyerang setinggi 1.95 meter yang menggabungkan kuasa fizikal, ketepatan dan ketajaman penyudah, menjadikannya antara penyerang paling digeruni di dunia.

Haaland menegaskan membawa Norway ke Piala Dunia adalah “matlamat utama” kariernya dan kejayaan layak kali ini menjadi bukti perkembangan pesat bola sepak Norway.

“Kami memecahkan kod, menjadi pemain lebih baik. Ramai yang membuat kejayaan besar seperti Antonio Nusa dan Oscar Bobb.

“Sebagai negara kecil, kami perlu menikmati detik ini. Saya rasa ini permulaan kepada sesuatu yang besar,” katanya.

Di Norway yang berpenduduk kurang enam juta, Haaland dianggap ikon nasional.

Di kampung halamannya di Bryne, beberapa mural dihasilkan sebagai penghormatan, malah pernah wujud patung kayu setinggi tiga meter yang dicuri pada tahun 2022 kerana dikatakan “tidak seiras”.

Kepimpinannya turut terserlah ketika kemenangan 4-1 ke atas Estonia, apabila beliau memberi ucapan penuh emosi pada masa rehat dan kemudian mencetus sensasi kerana membeli berpuluh burger untuk rakan sepasukan selepas perlawanan ketika masih memakai jersi Norway.

Dengan reputasinya kini berada di tahap luar biasa, Haaland akan terus menjadi nadi utama cabaran Norway menuju Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada. – REUTERS

More From Author

31 remaja antara 117 ditahan kerja guna MyKad orang lain

Sampai najis pun murid buang dalam beg kawan