Sg. Sayong tercemar lagi, air jadi ‘susu’

KOTA TINGGI: Sungai Sayong di sini tercemar lagi apabila airnya berwarna putih susu sekali gus menjejaskan aktiviti 150 nelayan di sepanjang Ulu Sungai Johor.

Pengerusi Jaringan Perikanan Masyarakat Orang Asli Parlimen Tenggara, Jasni Amat, 48, berkata, pencemaran terbaharu itu disedari penduduk sejak pukul 3 pagi tadi.

“Akibatnya kumpulan nelayan tidak dapat ke sungai kerana khuatir hasil tangkapan tidak selamat dimakan selain peralatan penangkapan ikan dan bot mengalami kerosakan akibat pencemaran sepanjang 20 hingga 30 kilometer.

“Kami tidak menolak kemungkinan pencemaran itu berpunca dari sebuah tapak lombong berhampiran,” katanya ketika ditemui pemberita.

Katanya, penduduk tidak pasti apa yang berlaku dengan ada mendakwa kolam di lombong pecah dan sebagainya hingga menyumbang pencemaran tersebut.

Jelasnya, penduduk mendapati pencemaran berkenaan mengakibatkan kehidupan sungai tersebut juga mati apabila timbul di permukaan air.

“Kami tidak pasti tahap pencemaran ini dan sehingga kini kesan pencemaran air sungai penuh dengan lumpur dan berselut, kami bimbang ia berterusan

“Apa yang mengecewakan tujuh tahun lalu, sungai ini dicemari ammonia, diikuti cecair bewarna hitam tahun lalu manakala pada kali ini air sungai bertukar warna susu,” katanya.

Jasni berkata, terdapat beberapa loji rawatan air (LRA) berhampiran kawasan berkenaan dan pihaknya bimbang akan menjejaskan bekalan air penduduk sekitar.

Pihaknya ada menyalurkan aduan kepada Ranhill SAJ, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Daerah Kota Tinggi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kota Tinggi serta membuat laporan di Balai Polis Bandar Tenggara di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Sayong Pinang
berkata, pihaknya mendapati air tercemar itu sudah mengalir ke Sungai Rantau Panjang dan Sungai Telur.

“Kami berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan sesuai bagi mengenalpasti punca pencemaran serta mengambil tindakan segera.

“Kami berharap syarikat beroperasi di sepanjang persisiran sungai dan lombong-lombong bersama-sama menjaga ekosistem termasuk menjalankan aktiviti melepaskan buat benih ikan dan udang yang di bawah seliaan Jabatan Perikanan,” katanya. – Majestic

More From Author

‘Salji’ landa Ulu Tiram?

Arteta bimbang jadual padat jejas kebajikan pemain